January 13, 2016

Anak harap ibu selamat ditemui

Hamisah

BUKIT CHANDAN - Anak mana yang tidak risau apabila ibu kandungnya yang dilaporkan hilang pada pertengahan November lalu masih belum ditemui.

Normadiniatul Shida Mohd Haidin, 38, buntu memikirkan nasib ibunya, Hamisah Shahudin, 59, namun berharap insan tersayang itu berada dalam keadaan selamat.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, nalurinya kuat mengatakan ibunya dalam keadaan selamat dan dia sekeluarga tidak putus asa untuk mengesan wanita berkenaan.

Menurutnya, dia sentiasa berhubung dengan polis bagi mengetahui perkembangan semasa selain menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional bagi mencari ibunya.

“Setakat ini, kami masih belum menemui sebarang petunjuk. Pihak polis juga melakukan semakan pada rekod bank dan rekod panggilan telefon.

“Namun, masih tiada petunjuk diperoleh. Ada mengatakan kehilangan ibu mungkin ada kaitan dengan perkara halus namun ia masih kekal misteri kerana tiada sebarang petunjuk kukuh,” katanya.

Normadiniatul Shida berkata, dia menolak khabar angin mengatakan ibunya berada di rumah seorang saudara mereka di Johor seperti yang dihebohkan baru-baru ini.

Menurutnya, sebaik mendengar berita itu, dia terus menghubungi semua saudaranya di Johor namun tiada pertunjuk mengatakan ibunya berada di sana.

“Sebagai anak, pastinya saya harap ibu saya berada dalam keadaan selamat dan segera pulang ke pangkuan keluarga.

“Jika ada mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan ibu saya, mereka boleh berhubung dengan polis bagi menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.

Hamisah dilaporkan hilang pada 12 November tahun lalu di Kampung Suak Petai, Manong dan kehilangan itu disedari suaminya yang baru pulang membeli sarapan.

Operasi mencari wanita itu dimulakan sebaik mendapat laporan mengenai kehilangannya namun sehingga kini ia menemui jalan buntu.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment