January 3, 2016

Akan ku gagahi jua

MAHADZIR (kanan) bersama Mohd Syazwan yang lumpuh bahagian pinggang hingga kaki sejak lima bulan lalu selepas terjatuh daripada basikal.

Sik: “Walaupun perlu berdepan kesulitan kerana terpaksa berkerusi roda untuk ke sekolah, saya tidak akan mudah putus asa kerana mahu belajar seperti rakan lain sekali gus dapat berjasa kepada keluarga.”

Begitu kata Mohd Syazwan Zaidi, 8, dari Sungai Pau, di sini, yang disahkan lumpuh bahagian pinggang hingga kaki sejak lima bulan lalu selepas terjatuh daripada basikal di halaman rumahnya dalam kejadian pada Julai lalu.

Mohd Syazwan yang belajar di Sekolah Agama Raudatul Kuala Ketil, Baling, berkata walaupun dirinya serba kekurangan, namun dia mengakui tidak malu untuk ke sekolah kerana yakin mampu sembuh dan kembali seperti sedia kala suatu hati nanti.

“Saya mahu pergi ke sekolah supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana mahu menjadi insan berilmu dan menjadi harapan kepada keluarga,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kerusi roda oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid di rumah keluarganya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik Anies Suzana Azhan.

Ibu kanak-kanak terbabit Roslina Khusin, 38, berkata pada mulanya Mohd Syazwan hanya jatuh basikal dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dia bersama suami Zaidi Zainal Abidin, 42, membawanya ke hospital selepas mengadu sakit pinggang berlarutan selama dua hari.

Menurutnya, selepas ujian sinaran X, doktor mendapati keadaan tubuh Mohd Syazwan baik dan tidak patah lalu membawanya pulang ke rumah, tetapi anaknya meracau kesakitan pada waktu malam.

“Disebabkan keadaan Mohd Syazwan tidak menunjukkan perubahan untuk sembuh meskipun boleh berjalan, namun dia bersama suami sepakat untuk mencuba rawatan tradisional tetapi tiba-tiba tubuhnya menjadi lembik dan terus tidak boleh berjalan.

“Saya terus merujuk kepada doktor dan Mohd Syazwan disahkan mengalami masalah kegagalan fungsi saraf membuang najis di mana saluran kencingnya tersumbat.

“Sehingga kini, anak saya terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak dapat bergerak dan perlu dipantau sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk memastikan anaknya kembali sihat dan meneruskan kehidupan kanak-kanaknya seperti sedia kala.

Katanya, hatinya menjadi sebak apabila melihat anaknya sanggup berkerusi roda untuk ke sekolah supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran, ketika ibu bapa lain bersemangat membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Saya akan ke sekolah untuk berbincang dengan guru besar bagi membolehkan Mohd Syazwan diletakkan di kelas tingkat bawah yang tidak perlu menaiki tangga sekali gus memberi keselesaan kepadanya,” katanya.

Hasil keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sik, sebuah kerusi roda telah disumbangkan untuk Mohd Syazwan.

Menurut Pegawai JKM, Anies Suzana Azhan Ahmad berkata, selain sumbangan kerusi roda, pihaknya meluluskan bantuan bulanan RM300 kepada Mohd Syazwan.

myMetro 2 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment