January 5, 2016

Ajal pulang ke kampung

KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan.

Bagan Serai: Lelaki, 37, maut selepas terjatuh dari motosikal berkuasa tinggi ditungganginya sebelum dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Gula, Gunung Semanggol, di sini, dekat kilang kelapa sawit Sime Darby, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa Mohd Hisham Abdul Hamid maut ditempat kejadian selepas parah dibeberapa bahagian anggota badan akibat dirempuh kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kulim bersama empat lagi rakannya selepas makan di Restoran Terapung Kuala Gula, di sini.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang itu, motosikal jenis Ducati yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan dan ditolak menggunakan kaki secara bergilir-gilir oleh empat lagi rakannya.

Katanya, motosikal mangsa secara tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan mangsa gagal mengawalnya dan terjatuh di tengah jalan berkenaan sebelum dirempuh kereta jenis Kia Spectra.

"Rempuhan pada bahagian kepala serta tubuh badan mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987," katanya.

myMetro 4 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment