January 3, 2016

Ajal kereta rempuh lori

Keadaan kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan pembaca

Kuala Krai: Lelaki berusia 45 tahun maut manakala dua rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh lori muatan tong gas di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Lepan Jenut, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Ramli Ismail yang duduk di tempat duduk penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Dua rakannya yang parah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dirawat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

"Apabila tiba di lokasi kejadian sebuah lori yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan sebelum kereta mangsa merempuh sisi lori.

"Akibat rempuhan itu, penumpang depan kereta maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang belakang kereta parah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 3 Jan 2016





0 comments:

Post a Comment