January 5, 2016

6 hektar lalang berapi

ANGGOTA bomba memadam kebakaran kawasan lalang di Jalan Tun Razak, semalam.

Alor Setar: Pembakaran sampah tidak dikawal dipercayai menjadi punca kawasan lalang seluas enam hektar di Jalan Tun Razak, dekat sini, semalam, terbakar.

Dalam kebakaran jam 3.15 petang, api merebak dengan cepat disebabkan kawasan itu terdapat rumput kering dan lalang.

Berikutan itu, pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan masing-masing disebabkan asap tebal menghalang penglihatan.

Kebakaran berlaku bersebelahan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah itu dipadamkan selepas sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi.

Difahamkan, kebakaran berlaku hampir setiap tahun di kawasan itu berikutan cuaca panas menyebabkan api merebak cepat.

Saksi, Ismail Mohamad, 45, berkata, dia yang memandu dari arah pusat bandar ternampak kepulan asap menyebabkan seluruh kawasan itu gelap.

Katanya, dia memberhentikan kereta di bahu jalan untuk melihat apa berlaku, tetapi masuk semula selepas asap kembali tebal.

“Saya nampak api marak dengan cepat dan ketika itu anggota bomba berusaha memadam api, tetapi ia merebak ke bahagian lain menyebabkan kebakaran semakin besar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Alor Setar Pegawai Bomba Kanan II Mohd Supuri Din berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.30 petang dan tiba di lokasi dua minit kemudian.

Beliau berkata, 12 anggota bersama tiga jentera tiba di kawasan terbabit untuk memadamkan api yang merebak dengan cepat.

“Api dikawal 15 minit kemudian, malah kami turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya, Pengkalan Kundor dan Kodiang untuk memadam kebakaran.

“Api dipercayai berpunca akibat pembakaran sampah, tetapi tidak dapat dipastikan siapa yang melakukannya,” katanya.

myMetro 4 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment