December 31, 2015

Waspada kumpulan ’culik untuk tebusan’

KOTA KINABALU 29 Dis. – Ketua-ketua polis daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dinasihatkan sentiasa peka memandangkan kumpulan penjenayah ‘culik untuk tebusan’ (KFR) sentiasa mencari peluang melakukan jenayah rentas sempadan.
Jalaluddin Abdul Rahman

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, mereka tidak boleh sambil lewa kerana kelekaan pasukan keselamatan sentiasa ‘diintai’ oleh kumpulan berkenaan.

Malah, ujarnya, pasukan keselamatan harus sentiasa berwaspada terhadap apa jua ancaman termasuk memantau sebarang anasir yang mampu menggugat keselamatan negeri ini.

“Mereka ini (KFR) sepanjang masa mencari peluang dan waktu yang sesuai untuk menjalankan kegiatan jenayah di Esszone.

“Kita nasihatkan ketua-ketua polis daerah di Esszone pantau semua maklumat yang diterima agar apa jua ancaman seperti penculikan tidak berulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Perhimpunan itu merupakan perhimpunan terakhir dihadiri beliau sebelum menggalas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Bukit Aman berkuat kuasa Januari ini.

Jalaluddin berkata, pelaksanaan perintah berkurung sejak 19 Julai tahun lalu mampu menjadi mekanisme terbaik bagi menyekat ancaman jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, 152 individu ditahan kerana didapati melanggar peraturan perintah berkurung mengikut Seksyen 31(2) Akta Polis 1967.

Jumlah itu jelasnya, didapati meningkat berbanding 121 orang, tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, indeks jenayah di negeri ini menurun 1.23 peratus sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, jenayah pecah rumah meningkat sebanyak 11 peratus khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.

Utusan 30 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment