December 6, 2015

Warga Thailand bawa pistol 18 peluru ditahan

Pistol bersama dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi 18 peluru yang dirampas

Bukit Kayu Hitam: Seorang warga Thailand ditahan selepas didapati membawa pistol bersama 18 peluru hidup jenis 7.65 mm dalam sekatan jalan oleh sepasukan anggota Agensi Keselamatan Sempadan di Kilometer 1.3, Lebuhraya Utara-Selatan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, lelaki berusia 32 tahun yang memandu treler membawa hampas sawit ditahan selepas pemeriksaan ke atas kenderan itu menemui senjata api itu dalam beg pinggang di belakang tempat duduk belakang pemandu.

Difahamkan, ketika ditahan, lelaki itu dalam perjalanan dari kawasan perindustrian di sini, menuju Thailand bagi menghantar hampas berkenaan ke kilang proses makanan haiwan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, hasil siasatan, lelaki itu mengakui pistol dan peluru berkenaan bukan miliknya, sebaliknya milik rakan senegara.

Beliau berkata, suspek diminta menyimpan senjata api berkenaan sementara waktu kerana rakannya mahu pulang ke Patalong, Thailand atas urusan tertentu.

“Pistol berwarna perak itu ditemui bersama dua bungkusan plastik lut sinar mengandungi 18 peluru hidup jenis 7.65 mm,” katanya.

Abd Rahim berkata, pistol itu jenis pistol gas diubah suai, namun polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada senjata itu untuk dijual atau pernah digunakan untuk jenayah.

“Kami minta bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk pemeriksaan lanjut terhadap pistol itu. Semua barang kes dirampas dibawa ke Unit Persenjataan IPK Kedah bagi ujian keupayaan perkhidmatan sebelum dihantar ke Makmal Forensik untuk ujian balistik,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a), Akta Senjata 1960.

myMetro 5 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment