December 1, 2015

Warga emas dibunuh dalam rumah

AMPANG JAYA - Hasrat seorang adik ingin bertemu dengan kakaknya, Saharah Sutan Muda, 66, tidak kesampaian apabila wanita warga emas itu ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di Jalan J11, Taman Melawati di sini hari ini.

Menurut Nasarudin Sutan Muda, 64, kali terakhir dia berbual dengan kakaknya pada minggu lalu menerusi telefon.

"Pemergian kakak saya sungguh tidak diduga, dia pergi sebelum sempat saya berjumpa dengannya seperti yang saya rancang semasa bersembang dengannya dalam telefon minggu lalu," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hari ini.

Kata Nasarudin, arwah tidak mempunyai anak sebelum berpisah dengan suaminya 30 tahun lalu.

"Disebabkan sunyi, dia sewakan sebahagian ruang dalam rumahnya sebagai teman bila bersendirian," katanya.

Kelmarin, Saharah, ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian kepala dan muka di rumahnya di Jalan J11 Taman Melawati oleh seorang wanita warga Indonesia yang juga merupakan penyewa rumah teres dua tingkat milik mangsa kira-kira pukul 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Senior Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, mayat wanita warga emas yang juga peniaga makanan ditemui terbaring dengan kesan kecederaan di kepala.

"Mayat mangsa dihantar ke PPUKM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam pada itu Kosmo! difahamkan, mangsa dikatakan dirompak sebelum dibunuh ekoran barang-barang di dalam biliknya dilihat berselerak. - K! ONLINE

Kosmo 1 Dis 2015


Warga emas maut ditumbuk

Ampang: Seorang wanita warga emas ditemui mati selepas dipercayai dipukul dan ditumbuk oleh penjenayah di rumahnya di Taman Melawati di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang juga seorang janda, Saharah Sutan Muda,67, dijumpai oleh penyewa rumahnya jam 6.15 petang dalam keadaan berlumuran darah.

Adik mangsa, Nasarudin Sutan Muda, 64, berkata, kakaknya itu ada menghubunginya minggu lalu dan memintanya datang untuk melawat.

Menurutnya, kakaknya itu tidak mempunyai anak dan tinggal berseorangan selepas bercerai dengan suami 30 tahun lalu selain menyewakan bilik di rumahnya itu kepada kenalan.

Nasarudin berkata, dia kini menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat punca kejadian yang berlaku ke atas kakaknya.

“Saya diberitahu oleh penyewa bilik, kakak saya turut kehilangan dokumen peribadi, buku akaun bank dan beberapa barang peribadi.

“Saya percaya penjenayah yang melakukan tindakan kejam terhadap kakak saya adalah individu dikenalinya kerana tiada tanda rumahnya dipecah masuk,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Senior Asisten Komisioner Khairulddin Saad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kejadian itu.

myMetro 2 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment