December 16, 2015

Wanita dan lelaki ditahan dalam kes pembunuhan isteri Datuk

Taiping: Polis menahan wanita dan lelaki bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan isteri kepada lelaki bergelar Datuk di Taman Lake View, di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, seorang wanita berusia 68 tahun ditemui mati apabila ditembak dua lelaki bersenjata parang dan bertopeng.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata susulan kejadian itu, polis menahan wanita berusia 78 tahun dan lelaki 57 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama suaminya ketika didatangi dua suspek kemudian diikuti dua lelaki tidak dikenali yang memakai topeng dan bersenjata parang dari belakang kedua-dua suspek.

"Seorang daripada individu itu mengikat tangan Datuk itu menggunakan selendang manakala seorang lagi mengugut suspek lelaki dengan meletakkan parang di lehernya.

"Mangsa kemudian dibawa kedua-dua individu itu ke dalam bilik sebelum melarikan diri. Mangsa ditemui mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Sehingga ini, katanya, tiada barang kemas serta jumlah kerugian yang dilaporkan mangsa dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif pembunuhan itu.

myMetro 12 Disember 2015


Isteri ‘Datuk’ maut ditetak di rumahnya di Taiping

JENAZAH isteri seorang "Datuk" yang meninggal dunia akibat ditetak dibawa keluar untuk dikebumikan, di Taman Lake View, Taiping hari ini. - Foto AZHARUL NASARUDDIN

IPOH 12 Dis. - Seorang wanita berusia 68 tahun, dipercayai isteri kedua kepada pesara bergelar 'Datuk' maut selepas ditetak dengan parang di belakang leher di rumahnya di Taman Lake View, Taiping, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harith Kam Abdullah berkata, ketika kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa dan suami telah dikunjungi saudara perempuan terdekatnya berusia 78 tahun bersama pekerjanya seorang lelaki berumur 57 tahun.

"Sebaik mereka berada dalam rumah, tiba-tiba dua lelaki memakai topeng dan bertopi keledar meluru masuk.

"Seorang suspek bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita itu manakala tetamu lelaki diugut dengan parang diletakkan di lehernya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum melarikan diri.

"Selepas itu, tetamu lelaki itu ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Harith berkata pihaknya menemui parang di luar kediaman yang disyaki dibuang suspek.

"Barang kemas mangsa yang bertaburan di atas katil dan meja solek tidak diambil kedua-dua suspek itu.

"Hasil siasatan, suami mangsa berkata hubungannya dengan tetamu wanita itu amat buruk dan mereka datang ke rumah untuk meminta wang perbelanjaan daripadanya kerana mendakwa mengabaikan kebajikan wanita berkenaan dan seorang anaknya yang sedang sakit tenat, katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat, katanya.

Harith berkata polis telah menahan kedua-dua tetamu di rumah mangsa untuk membantu siasatan manakala kedua-dua lelaki yang melarikan diri masih diburu.

"Polis masih belum pasti kejadian bermotif samun atau konflik keluarga. Kedua-dua tetamu telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya.- BERNAMA

12 Dis 2015


Lanjut reman suspek kes bunuh isteri datuk

Taiping: Tempoh reman dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan isteri kedua lelaki bergelar Datuk di Taman Lake View, Taiping, 11 Disember lalu dilanjutkan selama enam hari sehingga 30 Disember ini.

Majistret Rosnee Mohd Radzuan mengeluarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun selepas tempoh reman pertama kedua-duanya berakhir hari ini.

Tempoh reman dilanjutkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang suspek lelaki berusia 57 tahun yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini manakala suspek wanita berusia 78 tahun sudah dibebaskan 17 Disember lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa berusia 68 tahun maut salepas dipercayai ditetak dengan parang di leher di rumahnya di Taman Lake View, di sini.

myMetro 24 Disember 2015 

0 comments:

Post a Comment