December 21, 2015

Tragedi persembahan silat

Labuan: Remaja lelaki maut selepas sepupunya tidak sengaja menikamnya dengan keris ketika persembahan silat di Kampung Patau-Patau, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa Mohd Amil Zulkarnain, 17, maut selepas terkena tikaman itu tepat mengenai dadanya.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama tiga rakan pesilat termasuk sepupu lelakinya membuat persembahan sempena majlis perkahwinan penduduk di kampung tersebut.

Bagaimanapun, ketika sesi persembahan menggunakan keris, suspek yang juga berusia 17 tahun tertikam dada kiri mangsa menyebabkan mangsa mengalami pendarahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintenden Mohd Ibrahim Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Mangsa dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Polis turut menahan suspek yang berusia 17 tahun itu bagi membantu siasatan.

myMetro 20 Disember 2015


Pesilat maut tertusuk keris

Mohd. Amil Zulqarnain


LABUAN 20 Dis. - - Seorang pesilat remaja maut selepas terkena tikaman keris secara tidak sengaja oleh rakannya ketika membuat pertunjukan dalam kenduri perkahwinan di Kampung Patau-Patau Satu, di sini semalam.

Kejadian malang yang menimpa mang­sa, Mohd. Amil Zulqarnain Jafar, 17, berlaku kira-kira 11.30 pagi apabila keris yang dipegang rakan pesilatnya tertusuk di dada.

Difahamkan, rakan pesilat mangsa itu adalah sepupunya.

Bapa mangsa, Jafar Bugal berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Katanya, ketika kejadian, beliau yang bertugas sebagai Pegawai Bomba Kanan Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan sedang dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

“Saya cukup terkejut apabila menerima perkhabaran ini sebelum bergegas ke Hospital Labuan untuk melihat keadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jafar berkata, mang­sa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu memang meminati aktiviti seni mempertahankan diri sejak berusia 13 tahun lagi.

Katanya, Mohd. Amil Zulqarnain bersama rakan-­rakan yang merupakan ahli Persatuan Seni Silat Gayung Kompleks Sukan Labuan sering diundang membuat persembahan silat dalam majlis-majlis tertentu termasuk kenduri perkahwinan.

“Walaupun reda dengan pemergian arwah, kami sekeluarga sedikit terkilan apabila persembahan Mohd. Amil Zulqarnain bersama rakannya semalam menggunakan keris sebenar.

“Selama ini, setiap kali persembahan mereka tidak menggunakan keris sebenar. Namun, saya akan bertanya jurulatih mereka mengapa keputusan itu (menggunakan keris) dibuat,” katanya.

Jelas Jafar, bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Labuan dan mayat anak kesayangannya itu akan dibawa ke Surau Kampung Sungai Bangat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Bangat, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintenden Mohd. Ibrahim Mohd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan mangsa dikatakan meninggal dunia di Hospital Labuan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Kese­k­saan.

Utusan 21 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment