December 29, 2015

‘Tolong Intan ibu...’

Nor Asiah menunjukkan gambar anak kelapannya, Intan Suliyana (kiri) yang dipercayai hilang sejak Rabu lalu.

MELAKA TENGAH - Seorang remaja perempuan, Intan Suliyana Mohamad Som, 18 dipercayai hilang apabila tidak pulang ke rumahnya di Taman Rumpun Bahagia di sini, selepas keluar ke pusat beli belah Rabu lalu.

Menurut ibunya, Nor Asiah Ab Hamid, 52, anak kelapan daripada 11 beradik itu hilang tanpa sebarang pesanan atau nota sehingga kesihatan dia dan suaminya, Mohamad Som Ahmad, 57, terjejas kerana terlalu bimbangkan keadaan anaknya itu.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Melaka Tengah sebaik menyedari kehilangan anaknya selepas keluar rumah pada jam 1.30 tengah hari bagi melunaskan bil di sebuah pusat beli belah di negeri ini.

"Saya beri dia RM101.30 dan bekalkan RM1 untuk dia pergi bayar bil dengan berjalan kaki seorang diri di pusat beli belah yang jarak lebih kurang 500 meter dari rumah.

"Sebelum hilang, dia sempat jumpa kakaknya yang bekerja di sebuah butik di situ.

"Ketika itu dia pakai tudung warna coklat, baju belang lengan panjang dan seluar hitam," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ujar Nor Asiah, ahli keluarga mula risau apabila Intan Suliyana masih belum pulang walaupun sudah lewat malam dan panggilan telefon tidak dijawab.

Malah, katanya, dia turut hubungi dan cari rakan sekolah anaknya namun menemui jalan buntu apabila tiada seorang pun yang tahu di mana anaknya berada.

"Intan ada hantar SMS jam 7.34 malam pada saya, Khamis lalu, saya cuba telefon balik namun gagal dan dalam SMS tu dia tulis “tolong Intan ibu”. Ini amat bimbangkan saya.

"Malah pada hari yang sama lebih kurang jam 12.40 tengah malam, kakaknya yang menetap di Duyong menerima SMS dari Intan mengatakan dia sihat dan takut untuk pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada sebarang perselisihan faham berlaku dan Intan disifatkan seorang yang sangat peramah dan manja dalam keluarga.

Dia turut memohon orang ramai dapat membantu mencari anaknya itu menghubungi mereka di talian 010-5160706 atau balai polis terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Kominsoner Shaikh Abdul Adzis Sheikh Abdullah mengesahkan ada menerima laporan berkenaan dan kes disiasat di bawah orang hilang.

Sinar Harian 27 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment