December 1, 2015

Tiga kanak-kanak lemas di kolam takungan


JOHOR BAHRU - Tiga kanak-kanak ditemui mati lemas di sebuah kolam takungan kawasan tapak pembinaan di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang dekat sini malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd. Rizal Buang berkata, dua daripada mangsa merupakan adik-beradik manakala seorang lagi adalah rakan mereka.

"Mereka adalah Hafiy Iman Hazrul Izwan, 8, dan adiknya Mikael Hazrul Izwan, 6, yang beralamat di Jalan Berlian 36, Taman Cahaya Masai manakala seorang lagi adalah Airil Iskandar Hamran, 8, beralamat di jalan dan perumahan yang sama," katanya hari ini.

Mohd. Rizal berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian lemas itu pada 7.15 malam dan sebuah jentera bomba bersama seorang pegawai serta enam anggota tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor turut bergegas ke tempat kejadian bagi melalukan gerakan menyelamat mangsa.

Katanya, mangsa pertama yang ditemui adalah Hafiy Iman sebelum disusuli dua yang lain.

Beliau berkata, menurut saksi, tiga sekawan berkenaan pergi ke takungan air sedalam 15 kaki yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka selepas hujan lebat sebelum dipercayai tergelincir berikutan kawasan itu agak curam.

"Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat," katanya. - K! ONLINE

Kosmo 1 Dis 2015


'Tak tahu dia ke kolam'

Johor Bahru: “Kami tidak tahu dia (Airil Iskandar) ke sana (kolam takungan) sehinggalah dimaklumkan mengenai penemuan mayat Hafiy Iman (Hafiy Iman Hazrul Izwan, 8) jam 7.49 petang semalam (kelmarin),” kata Hamran Ramli, 48.

Hamran ialah bapa kepada Airil Iskandar, 8, seorang daripada tiga kanak-kanak yang lemas ketika memancing di sebuah kolam takungan berhampiran Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, selain Hafiy Iman dan Airil Iskandar, seorang lagi mangsa ialah adik kepada Hafiy Iman iaitu Mikael, 6.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 7.35 petang kelmarin dan berakhir jam 8.30 malam kelmarin selepas mayat ketiga-tiganya ditemui.

Ketiga-tiga mangsa dikatakan pergi memancing di situ berdasarkan penemuan joran serta botol air mineral milik mereka.

Mengimbau kejadian, Hamran berkata, sebelum didapati hilang, Airil Iskandar pergi mengaji di rumah dua beradik berkenaan yang tinggal selorong di taman perumahan berkenaan.

“Seperti biasa, Airil Iskandar keluar rumah jam 12 tengah hari untuk mengaji di rumah dua rakannya itu yang terletak berhampiran.

“Pada mulanya, kami sangka Airil Iskandar masih di rumah rakannya itu memandangkan hujan lebat sedang melanda,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Hamran yang menetap di taman perumahan itu sejak 12 tahun lalu berkata, dia mula tidak tenteram kerana anak bongsunya masih belum pulang ke rumah walaupun sudah menjangkau jam 6.30 petang.

“Ketika itu, saya minta dua lagi anak untuk mengesan Airil Iskandar di sekitar lorong yang menjadi tempat permainannya bersama rakan-rakan. Bagaimanapun, dia tidak ditemui di lokasi itu.

“Anak kemudiannya pergi ke rumah guru mengaji yang terletak berhampiran namun gagal menemuinya,” katanya.

Menurut Hamran, kerisauan mereka sekeluarga semakin menebal sejurus penemuan mayat Hafiy Iman yang terapung oleh ibunya.

“Firasat saya, Airil Iskandar turut berada di lokasi sama berdasarkan penemuan jasad Hafiy Iman selain joran, botol air mineral dan selipar mereka.

“Saya memberanikan diri untuk mengesan kedudukan Airil Iskandar di dasar kolam takungan selama kira-kira setengah jam namun gagal menemuinya,” katanya.

Menurut Hamran, jasad anaknya ditemui selepas anggota bomba dan penyelamat yang tiba tidak lama kemudian melakukan operasi mengesan dua lagi mangsa.

“Jasad Airil Iskandar dan Mikael kemudiannya ditemui tidak jauh daripada satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes lemas berkenaan.

myMetro 3 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment