December 25, 2015

Tiga beranak cedera lori kontena terbalik

KEADAAN lori kontena yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba

Taiping : Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun parah manakala ibu bapanya cedera ringan selepas lori kontena yang dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 210.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat sini, kira-kira 7.45 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi anggota mendapati pemandu lori kontena dan dua penumpang berada dalam kenderaan yang membawa muatan makanan sejuk beku itu.

"Mangsa bagaimanapun dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans lalu dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, lori kontena berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Butterworth, Pulau Pinang.

"Selepas ia terbabas ia memasuki laluan bertentangan dan mengakibatkan kesesakan di laluan berkenaan. Ketika ini kerja pengalihan lori kontena terbabit sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kemalangan itu mengkibatkan kesesakan teruk sejauh kira-kira 10 kilometer bermula dari plaza tol Kamunting hingga ka Changkat Jering.

myMetro 23 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment