December 25, 2015

Tangisan hiba cari ibu

AHLI keluarga mangsa membantu mengusung dan menguruskan mayat untuk dibawa ke tempat masing-masing.

Mukah: Tangisan Lorine Jawan mencari ibunya yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 127, dekat Jalan Sibu-Bintulu, kelmarin, membuatkan pekarangan Unit Rawatan Rapi di Hospital Sibu diselubungi suasana hiba, semalam.

Lorine yang berusia lima bulan mendapatkan rawatan di hospital itu selepas terselamat dalam kemalangan yang turut mengorbankan bapa, datuk, nenek dan kakaknya.

Keluarga terdekat, Remmy Sukup, 44, berkata, sebaik tiba menerima rawatan di hospital berkenaan, bayi itu dijaga sepupunya, Sherline Thomas, 26.

Menurutnya, bayi berkenaan asyik menangis kerana tidak biasa berada dalam pangkuan orang yang tidak dikenalinya.

“Sehingga kini, dia masih ditempatkan di Hospital Sibu dan dalam jagaan Sherline buat sementara waktu.

“Memandangkan ibu bapanya sudah tiada, ahli keluarga lain sudah berbincang mengenai penjagaan Lorine nanti. Dia akan diserahkan kepada ibu saudaranya,” katanya.

Remmy berkata, ibu saudara yang menjaga Lorine adalah adik kepada ibunya iaitu Adeline Robin, 34.

“Ketika ini, ahli keluarga lain masih bersedih, lebih-lebih lagi selepas mayat mendiang keluarga dituntut dari Hospital Mukah hari ini (semalam).

“Upacara pengebumian akan dilangsungkan menjelang sambutan Krismas nanti. Sepatutnya kami sekeluarga berkumpul merayakan sambutan Krismas bersama, sebaliknya ia bertukar hari sedih mengebumikan mereka,” katanya.

Mendiang Jawan Junggan, 39, Melati Robin, 30-an, Marrine Riyun Jawan, 5, bakal disemadikan di Rumah Panjang Junggan, dekat Kilometer 58 di Jalan Sibu-Selangau.

Mendiang Robin Igat, 49, dan Mandah Medan, 44, dibawa ke Rumah Panjang Robin, dekat Tanjung Taroh Baru, Sepiring, Selangau untuk urusan pengebumian.

Difahamkan, sebelum kemalangan, Robin ke Miri mengambil Jawan dan anak perempuannya, Melati bersama dua cucunya untuk pulang ke kampung halaman di Tanjung Taroh Baru untuk menyambut Krismas.

Mendiang Jawan adalah seorang ahli kimia yang bekerja di Brunei sejak tiga tahun lalu manakala isterinya, Melati dan dua anaknya, Marrine Riyun serta Lorine tinggal di Miri.

Dalam kemalangan semalam, lima sekeluarga yang menaiki Nissan Sentra itu bertembung dengan sebuah pikap, Toyota Hilux. Pemandu dan penumpang Toyota Hilux itu selamat.

myMetro 24 Disember 2015


5 maut, 7 cedera

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba

BERGELIMPANGAN: Lima mayat mangsa kemalangan kelihatan ditutup dengan kanvas.

REMUK: Keadaan Toyota Hilux yang remuk di bahagian hadapannya selepas terlibat dalam kemalangan maut itu semalam.

Toyota Hilux dan Nissan Sentra bertembung di Kilometer 77, Jalan Tatau-Sibu, petang semalam

BINTULU: Lima maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan melibatkan pertembungan sebuah pikap Toyota Hilux dan kereta Nissan Sentra di Kilometer 77, Jalan Tatau-Sibu sekitar jam 5.17 petang semalam.

Lima daripada enam penumpang kereta Nissan Sentra yang meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Jawan Jungan, 39, Mandah Medan (tidak diketahui umur), Robin Igat,49, Melati Robin,24 dan Marianne Riyung Jawan,5, manakala seorang bayi lelaki hanya mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, pemandu Hilux dan lima penumpang mengalami kecederaan dan semua mereka termasuk bayi terbabit dikejarkan ke Klinik Selangau bagi mendapatkan rawatan.

Menurut maklumat Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, pihaknya mengambil masa hampir dua jam mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di celah-celah kenderaan terbabit.

Operasi mengeluarkan mangsa tamat sekitar jam 6.30 petang dan mujurlah semua mangsa tersepit dapat dikeluarkan sebelum malam.

Punca berlakunya kemalangan maut itu bagaimanapun masih  dalam siasatan polis dan bomba yang mana siasatan terperinci akan dijalankan dalam masa terdekat.

Utusan 23 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment