December 25, 2015

Susun benteng pasir

MUHD Faizal (kanan) bersama Muhammad Syukor membuat benteng pasir bagi menghalang ombak besar.

Kota Bharu: Lebih 200 penduduk di Pantai Pulau Kundur, di sini, mula membuat persiapan dengan membuat benteng pasir bagi menghalang air pasang besar yang dijangka melanda pesisiran pantai bermula hari ini sehingga Isnin ini.

Ia berikutan amaran awal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan yang menjangkakan ketinggian ombak boleh mencapai 4.5 meter jika hujan lebat dan tiupan angin kencang berlaku serentak.

Bagi menjamin keselamatan diri, penduduk mengambil inisiatif dengan meletakkan beg pasir setinggi satu meter untuk menghalang ombak besar daripada merosakkan sebahagian rumah mereka terletak berhampiran pantai.

Penduduk, Muhd Faizal Abdullah, 32, berkata, sejak bulan lalu, dia bersama penduduk membeli guni untuk diisi pasir dan dijadikan sebagai benteng menahan pukulan ombak.

Katanya, kesan ombak kuat musim tengkujuh itu menyebabkan hakisan pantai dan kini semakin menghampiri rumah penduduk.

myMetro 25 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment