December 21, 2015

Suami isteri didakwa jual ganja

Banting: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk, di sini, atas dua pertuduhan mengedar ganja masing-masing 264 gram dan 10,786 gram, 7 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Lukman Mohamad dan Nadiah Rahmat, masing-masing berusia 26 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Marsilawati Mohamad Shah.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Lukman dan Nadiah mengedar dadah itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, di sini, 7 Disember lalu, jam 6.45 petang.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah ganja seberat 264 gram.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah seberat 10,786 gram di lokasi dan tarikh yang sama.

Mahkamah menetapkan 29 Januari ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali.

myMetro 18 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment