December 4, 2015

Sperma lelaki tak berkualiti

KUALA LUMPUR – Ja­ngan terkejut apabila Pusat Fertiliti Kuala Lumpur mendedahkan bahawa masalah ke­suburan rakyat Malaysia pada masa kini bukan sahaja dihadapi dalam kalangan wanita tetapi ia juga menghantui kaum lelaki.

Mengikut kajian yang dilakukan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, berlaku penurunan kualiti air mani dalam kalangan lelaki berumur 20 hingga 30 tahun sebanyak 43 peratus.

Perkembangan itu, sekali gus membuktikan bahawa kadar kesuburan Malaysia yang meruncing kini bukan sahaja berpunca daripada wanita tetapi satu pertiga daripada masalahnya turut berpunca daripada pihak lelaki.

Kemerosotan kadar kesuburan dalam kalangan lelaki Malaysia itu turut menjejaskan kadar kelahiran di negara ini dengan purata setiap keluarga di negara ini hanya mempunyai 1.9 anak pada tahun lalu.

Pengarah Perubatan Pusat Fertiliti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Prashant Nadkarni berkata, berdasarkan kajian global mengenai kadar kesuburan dalam kalangan lelaki di dunia turut menunjukkan purata bilangan sperma kaum Adam itu berlaku trend penurunan bermula tahun 1930.

“Lebih mengejutkan, kajian tempatan oleh Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan UKM melibatkan lelaki Malaysia yang berumur 20 hingga 30 tahun baru-baru ini turut menunjukkan kualiti air mani mereka turut merosot sebanyak 43 peratus.

“Hasil kajian itu menjadi keputusan penting kepada pengkaji membuat rumusan bahawa Malaysia kini perlu mempertingkatkan rawatan kesuburan dalam kalangan rakyatnya,” kata beliau ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Seorang pakar di Pusat Fertiliti Kuala Lumpur, Dr. Agilan Arjunan pula berkata, bukti kemerosotan kualiti sperma lelaki Malaysia yang semakin meruncing itu juga diketahui melalui pengalaman bekerjanya yang mencatatkan 40 hingga 50 peratus pasangan yang mendapatkan khidmat run­dingan kesuburan adalah berpunca daripada pihak lelaki.

Katanya, faktor penurunan kualiti sperma dalam kalangan lelaki Malaysia itu dipercayai dipengaruhi pelbagai faktor iaitu gaya hidup yang tidak sihat dan mereka banyak terdedah dengan makanan mengandungi bahan kimia.

Kosmo 4 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment