December 21, 2015

Satu maut, lima beranak terselamat

KERETA Proton Iswara yang dipandu Kam Sang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 349, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Raub semalam.

RAUB – Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta jenis Perodua MyVi dinaiki mereka terbabit dalam kemala­ngan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 349, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi itu, kereta dipandu Zulkarami Aminnudin, 29, dari arah Kuala Lipis menghala ke bandar ini bertembung dengan kereta Proton Iswara dipandu Leong Kam Sang, 54.

Akibat rempuhan itu, Kam Sang berasal dari Taman Lee Man di sini disahkan maut kerana cedera parah selepas tersepit dalam kereta dipandunya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, kemala­ngan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Kam Sang terbabas dan memasuki laluan bertentangan mengakibatkan ia bertembung dengan kereta Zulkarami.

“Zulkarami yang bertugas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur bersama isterinya, Noliyana Raya, 29, serta anak-anak mereka, Aulia Izzatunnisa, 4, Afrina Insyirah, 2, mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi anak mereka, Ainan Iqlima berusia 11 bulan, patah kaki,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wan Zahari berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk menerima rawatan susulan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo 21 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment