December 4, 2015

Satu maut, empat cedera bot penumpang dirempuh

BOT yang merempuh bot penumpang dinaiki 12 penumpang. FOTO ihsan polis

Kota Kinabalu: Lelaki maut manakala empat lain cedera termasuk kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun selepas bot penumpang dinaiki mereka dirempuh bot di Jeti Lok Baru, Pulau Gaya, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa Abdul Wahid Juh, 27, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) manakala kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan seorang lagi berusia 30 tahun masing-masing mengalami parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan mendapati bot membawa 12 orang dari pusat bandar raya berhenti di Jeti Lok Baru, Pulau Gaya, dan tiba-tiba dirempuh bot dari kiri.

"Akibat rempuhan itu, lima penumpang mengalami kecederaan dan dihantar ke HQE I untuk rawatan. Namun, seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia apabila tiba di hospital,” katanya.

Empat mangsa lain yang cedera termasuk kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut dirawat di hospital yang sama.

"Pemandu bot yang merempuh bot dinaiki 12 penumpang itu dipercayai melarikan diri dan usaha mengesan pemilik bot itu masih dijalankan," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

myMetro 2 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment