December 8, 2015

Rogol gadis bawah umur

JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di tandas sebuah taman rekreasi di sini pada September lalu.

Tertuduh ialah Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, Mohamad Ridzuan Mohd. Asri dan Muhammad Azlan Lazan yang masing-masing berusia 19 tahun manakala Muhammad Saiful Fauzi, 18, dan seorang remaja berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh itu mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan serentak terhadap mereka di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abd. Aziz.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dan seorang lagi yang masih bebas didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di tandas awam taman rekreasi Taman Setia Tropika di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 30 September lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurashikin Ibrahim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nurashikin dalam hujah pendakwaannya tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap kesemua tertuduh yang semuanya berasal dari Johor Bahru dan memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya masih menunggu laporan perubatan serta sampel Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Mohamad Haldar memutuskan tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember depan.

Kosmo  8 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment