December 25, 2015

Ribuan kepah di Pantai Mempisang

PENDUDUK mengutip kepah untuk dibawa pulang. FOTO Zul Ikhwan Muhammad

Endau: Fenomena ribuan kepah naik ke darat di sepanjang Pantai Mempisang, Serinkin, Kampung Jawa di sini sejak kelmarin menggemparkan penduduk.

Berita fenomena aneh itu cepat tersebar menyebabkan penduduk berpusu-pusu mengutip makanan laut itu untuk dibawa pulang.

Difahamkan, kejadian itu berlarutan sejak beberapa hari lalu menyebabkan ada yang sanggup datang dari luar daerah untuk melihat dan mengutip kepah berkenaan.

Penduduk memaklumkan ia adalah kejadian pertama seumpamanya berlaku di pantai berkenaan.

myMetro 23 Disember 2015


'Wash up' fenomena biasa

ORANG ramai mengutip kepah yang terdampar di Pantai Mempisang.

Johor Bahru: Kejadian jutaan kepah naik ke darat di sepanjang Pantai Mempisang, Serinkin, Endau, sejak Selasa lalu dikenali sebagai fenomena ‘wash up’.

Fenomena ‘wash up’ atau penghanyutan dan pendamparan hidupan ke pantai itu biasanya berlaku akibat arus laut yang kuat menyebabkan hidupan seperti kepah terdampar di darat.

Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Salleh Kamarudin berkata, fenomena itu sememangnya boleh berlaku lebih-lebih lagi dalam keadaan musim tengkujuh ketika ini.

“Arus kuat monsun boleh mengocak dasar laut cetek di kawasan berhampiran dan menghanyutkan kepah ke pantai.

“Manakala air pantai yang surut secara graviti dengan perlahan-perlahan akan membuatkan kepah ini terdampar,” katanya.

Mohd Salleh berkata, punca berlakunya fenomena itu yang dikaitkan dengan arus laut yang kuat adalah alasan kukuh yang boleh diterima berikutan keadaan kepah naik ke darat itu dilaporkan masih hidup.

Beliau berkata, fenomena ‘wash up’ ini juga pernah berlaku di Afrika Selatan, Disember tahun lalu dan di Connecticut, Amerika Syarikat serta Hua Hin, Thailand, dalam tempoh sama.

Mengenai sama ada kepah itu selamat dimakan atau tidak, Mohd Salleh berkata, ia selamat jika benar dilaporkan masih hidup.

“Ada dua faktor menentukan sama ada kepah yang naik ke darat itu selamat dimakan atau tidak iaitu jika ia masih hidup dan jika kawasan laut di Pantai Mempisang itu tidak mengalami sebarang pencemaran atau bukan kawasan air pasang merah,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan fenomena pelik apabila jutaan kepah naik ke darat sehingga menyebabkan orang ramai termasuk dari luar daerah Endau datang beramai-ramai untuk menyaksikan fenomena itu.

myMetro 25 Disember 2015






0 comments:

Post a Comment