December 25, 2015

Remaja OKU ditemui lemas

PENDUDUK kampung membawa naik mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba

Kota Bharu: Remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun ditemui lemas dalam tali air di Kampung Padang Mokkan, Peringat di sini, pagi tadi.

Jasad remaja lembam itu ditemui 11.55 pagi oleh anggota bomba dan penyelamat kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh.

Ketua Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PDDA) Kota Bharu, Shamsuddin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.53 pagi dan 10 anggota iaitu empat dari unit PDDA dan enam anggota daripada balai bomba Pasir Tumboh bergegas ke lokasi kejadian.

"Bomba bersama penduduk kampung berusaha mencari mangsa yang ditemui sejam kemudian di dalam tali air sedalam tiga meter.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 24 Disember 2015



'Kelik oyak ko aboh'

AIMAN mententeramkan ibunya yang tidak dapat menahan kesedihan selepas Muhammad Firdaus ditemui lemas, semalam.

Kota Bharu: “Kelik oyak ko aboh (pergi balik beritahu ayah),” itu kata-kata terakhir remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Kamaruddin, 14, yang sempat berpaut pada jambatan kepada adiknya Muhammad Aiman Adha, 9, sebelum ditemui lemas di tali air Kampung Padang Mokkan, dekat sini, pagi semalam.

Sebelum kejadian jam 10 pagi itu, Muhammad Firdaus yang lembam sejak lahir menaiki basikal bersama adiknya sebelum terjatuh ketika melintas jambatan kecil tidak berpagar itu.

Mayat anak kedua daripada empat beradik itu ditemui di dalam tali air itu jam 10.53 pagi oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Ibu mangsa, Rohani Mat Taib, 43, berkata, arwah dan adiknya, Aiman keluar rumah untuk menangkap belalang di kawasan padang berdekatan sungai itu pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, katanya, secara tiba-tiba Aiman pulang ke rumah sendirian pada jam 10 pagi memaklumkan kejadian yang menimpa Muhammad Firdaus yang dipanggil ‘Apit’ dalam keluarganya.

“Dia (Aiman) memaklumkan kepada kami, Apit terjatuh ke dalam sungai sebelum kami bergegas ke tempat kejadian yang terletak dua kilometer dari rumah.

“Bagaimanapun, apabila kami tiba di lokasi kejadian arwah tidak kelihatan sebelum kami memaklumkan kejadian itu kepada bomba untuk tindakan lanjut,” katanya di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, malam sebelum kejadian dia ada menasihatkan arwah dan adiknya supaya tidak bermain berhampiran sungai berkenaan kerana bimbang keselamatan mereka.

“Apit bagaimanapun sempat bergurau dengan memberitahu saya supaya jangan bimbang kerana dia pandai berenang dan akan menyelamatkan adiknya jika terjatuh ke sungai itu. Saya sama sekali tidak sangka gurauan itu menjadi kenyataan hari ini (semalam).

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan kejadian itu kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Shamsuddin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.53 pagi.

“Seramai 10 anggota, termasuk empat daripada Unit PPDA dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui sejam kemudian di kedalaman tiga meter di dalam tali air itu,” katanya.

myMetro 25 Disember 2015





0 comments:

Post a Comment