December 30, 2015

Remaja diculik van putih telefon minta tolong


Nor Amira Atirah Abdul Majid sempat menelefon ahli keluarnya bagi meminta pertolongan sebelum perbualan terputus.

PETALING JAYA: “Tolong aku, aku nak balik, diorang culik aku, diorang nak jual aku,” kata seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang mendakwa diculik menggunakan van putih.

Nor Amira Atirah Abdul Majid memberitahu perkara itu ketika menelefon salah seorang ahli keluarga bagi meminta pertolongan sebelum perbualan itu terputus.

Rakaman perbualan selama 3 minit 43 saat itu menjadi viral di media sosial apabila ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai.

Nor Amira Atirah dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang pada petang Selasa.

Berdasarkan rakaman perbualan itu, mangsa mendedahkan dia telah diculik oleh penculik menggunakan sebuah van berwarna putih namun tidak sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan apabila kepala ditutup dengan kain.

Malah mangsa hanya tersedar apabila dia hanya ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru .

Menurut Amira, dia tidak keseorangan diculik, apabila mendakwa ramai lagi gadis lain turut berada dalam tahanan yang dipercayai untuk dijual.

Sebuah portal pula melaporkan, ibu mangsa menyedari anak perempuannya itu tidak berada di rumah kira-kira jam 10 malam, seterusnya bertindak menghubungi mangsa namun tidak berjaya.

Pihak Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengumpul maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sumber FreeMalaysiaToday
30 Dis 2015


Remaja disyaki diculik

Klang: Remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai diculik dari kawasan rumahnya di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Ahad lalu.

Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Nur Amirah Athirah Abdul Majid hanya disedari hilang selepas ibunya pulang ke rumah, kira-kira jam 2 petang.

Katanya, ibunya yang berusia 33 tahun cuba mencari di beberapa kawasan berhampiran serta menghubungi mangsa namun gagal.

"Kebiasaannya mangsa pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 8 malam namun sehingga jam 10 malam hari itu mangsa tidak juga muncul.

"Bimbang keselamatan anaknya, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada Isnin lalu di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman," katanya.

Kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial apabila tersebarnya rakaman perbualan telefon di antara mangsa dan ahli keluarganya yang mendakwa dirinya diculik sekumpulan lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Yusoff Mamat berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kelak.

myMetro 30 Disember 2015


Remaja 14 tahun hilang dari rumah disyaki dilarikan

SHAH ALAM: Seorang remaja berusia 14 tahun hilang disyaki dilarikan dari rumahnya dekat Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini, pada Ahad lalu.

Kehilangan Nur Amirah Athirah Abdul Majid dari rumah keluarga, disedari ibunya ketika pulang dari kedai, kira-kira jam 2 petang.

Sumber berkata, ibunya yang berusia 33 tahun, cuba menghubungi dan mencari mangsa di beberapa kawasan berhampiran, namun gagal.

Beliau berkata, kebiasaannya, jika keluar bersiar-siar mangsa akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 8 malam, tetapi sehingga jam 10 malam Ahad lalu, dia gagal berbuat demikian.

Bimbangkan keselamatan anaknya, ibu mangsa yang bekerja kilang membuat laporan di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, keesokan harinya..

Beberapa saudara dan rakan terdekat keluarga itu turut meminta bantuan orang ramai dan menghebahkan kejadian itu hingga menjadi viral dalam laman sosial Facebook.

Kehilangan Nur Amirah Athirah menjadi viral apabila tersebarnya rakaman perbualan telefon yang dikatakan antara kakak angkatnya berusia 23 tahun dengan mangsa, yang mendakwa dirinya dilarikan sekumpulan lelaki.

Bagaimana pun, setakat ini, tiada sebarang pengesahan mengenai kejadian itu. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Yusoff Mamat, berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kelak.

Berita Harian 30 Dis 2015


Pasukan khas jejaki remaja hilang - polis 

PELABUHAN KLANG: Polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menjejaki remaja berusia 14 tahun yang disyaki dilarikan dari kawasan rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman dekat sini, sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata berdasarkan keterangan ibu mangsa, remaja berkenaan membuat panggilan kira-kira 7.30 malam tadi, mendakwa dia dilarikan ke sebuah gudang oleh dua orang lelaki tidak di kenali.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat bersama seorang teman lelaki oleh adiknya di kedai makan Muara Ikan Bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 7 malam pada Ahad lalu.

"Siasatan lanjut mendapati, mangsa sering keluar rumah untuk berjumpa dengan rakannya tetapi tidak pernah melarikan diri. Malah, mangsa juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli keluarganya.

"Polis kini giat menjalankan siasatan serta operasi mengesan remaja berkenaan serta kes diklasifikasikan sebagai culik dan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Abdul Samah meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat keselamatan remaja berkenaan.

"Orang ramai diminta bekerjasama menyalur sebarang maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, di talian 019-382 9212 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-343 0150," katanya.

Kehilangan Nur Amirah Athirah Abdul Majid hanya disedari kira-kira jam 2 petang Ahad lalu selepas ibunya, Asmah Mamai, 33, pulang ke rumah dan mendapati anak sulung daripada empat beradik itu tiada di rumah. Asmah meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kehilangan remaja berkenaan yang sehingga kini belum ditemui selepas hilang pada Ahad lalu.

"Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa yang Ira (nama manja anaknya) selamat dan berharap dia kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.

"Sedih hati saya setiap kali membaca komen dan spekulasi yang dimuatnaik ke laman Facebook, tetapi saya tidak mampu menghalangnya.

"Cuma tolong hentikan segala cerita yang bukan-bukan mengenai anak saya kerana hanya menambah kesedihan kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi BH. Asmah berkata, perbualan yang menjadi viral di sosial media itu adalah benar kerana Amirah sempat menghubungi kakak angkatnya, Noor Fazila Misnan, 23, untuk meminta bantuan kira-kira jam 9.42 pagi semalam, ketika wanita itu berada di tempat kerja.

Menerusi rakaman yang viral di media sosial berdurasi 3 minit 43 saat itu, mangsa kedengaran merayu meminta bantuan, selain sempat menceritakan dirinya kini sedang dalam perjalanan untuk dijual bersama beberapa gadis lain sebelum perbualan itu terputus.

Dalam perbualan itu juga, dia sempat menceritakan diculik menggunakan sebuah van berwarna putih namun tidak sempat melihat nombor pendaftaran kereta kerana matanya telah ditutup dengan kain, selain memberitahu turut melihat papan tanda ke Johor Bahru.

Berita Harian 30 Dis 2015


Runsing 'share' & 'like'

Pelabuhan Klang: “Sudah lima hari kami tidak tidur lena malah rutin harian pun terganggu,” kata Abdul Majid Landu, 40, bapa remaja yang didakwa diculik, Nur Amira Athirah, 14, di Bandar Sultan Suleiman di sini, sejak Ahad lalu.

Abdul Majid yang kelihatan sugul dan sebak hampir menitiskan air mata apabila menceritakan mengenai rakaman audio perbualan Nur Amira Athirah dan kakak angkat, Noor Fazila Misnan, 23, yang tersebar di media sosial sejak kelmarin.

“Bapa mana yang tidak risau apabila keselamatan anaknya terancam akibat perbuatan orang ramai yang memikirkan jumlah ‘share’ dan ‘like’ di laman sosial Facebook (FB) masing-masing.

“Sudahlah saya risau anak dicederakan, siasatan polis pula terganggu akibat daripada kerakusan orang ramai ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya dekat sini, semalam.

Mengenai perkembangan terbaru kes itu, Abdul Majid berkata, mereka sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan daripada Nur Amira Athirah selepas rakaman audio berkenaan tersebar.

“Kami juga tidak menerima sebarang ugutan atau panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak. Bagaimanapun, kami berdoa dan berharap Nur Amira Athirah selamat dan kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin,” katanya.

Nur Amira Athirah dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas berjumpa rakannya tidak jauh dari kediaman keluarganya.

Kehilangan Nur Amira Athirah disedari ibunya, Asmah Mamai, 33, yang berusaha mengesan remaja berkenaan di kawasan sekitar sebelum membuat laporan polis Isnin lalu.

Kes terbabit menjadi viral selepas audio rakaman perbualan antara mangsa dan Noor Fazila yang berdurasi tiga minit 43 saat tersebar di laman sosial.

Dalam rakaman audio itu, Nur Amira Athirah memaklumkan dia diculik dan sedang menaiki van putih namun tidak dapat mengingati nombor pendaftaran kenderaan terbabit kerana kepalanya ditutup dengan kain.

Sejurus kejadian, polis Selangor menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kehilangan Nur Amira Athirah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat memaklumkan tiada perkembangan terbaru berkaitan kes terbabit.

“Masih tiada perkembangan namun siasatan tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa di talian 019-3829212 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-3430150.

myMetro 1 Jan 2016


Ditemui selamat, rupanya tidak diculik

Shah Alam: Remaja perempuan yang mendakwa diculik dari rumahnya di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Ahad lalu, Nur Amirah Athirah Abdul Majid, 14, ditemui selamat bersama lelaki dipercayai teman lelakinya di depan stesen minyak di Banting, 8 malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, remaja itu dan lelaki terbabit ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi menjejakinya di dalam kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sengaja mengadakan cerita dirinya diculik.

"Kita berjaya menjejakinya sejak tengah hari semalam dan mengekorinya hingga ke Putrajaya sebelum menahan kedua-duanya di depan stesen minyak terbabit malam tadi.

"Mangsa dikatakan buat begini kerana hendak bebas namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam kejadian Ahad lalu mangsa disedari hilang selepas ibunya pulang ke rumah, kira-kira 2 petang.

Ibu mangsa yang berusia 33 tahun cuba mencarinya di beberapa kawasan berhampiran serta menghubungi anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman Isnin lalu.

Kes berkenaan menjadi viral selepas mangsa menghubungi kakak angkatnya memaklumkan dia diculik di kawasan rumah dengan menggunakan van putih.

Perbualan antara mangsa bersama kakak angkatnya yang berdurasi 3 minit 43 saat itu tersebar secara meluas di laman sosial.

Mangsa mendakwa ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru.

Sementara itu Abdul Samah berkata, sebelum ini kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik namun pihaknya akan membuka kertas siasatan baru berhubung penemuan berkenaan.

Katanya, kedua-duanya kini masih ditahan untuk siasatan lanjut.

myMetro 1 Jan 2016


Peritnya hati ini...

Pelabuhan Klang: “Apa yang sudah terjadi, saya sebagai ibu terima walaupun perit untuk menanggungnya,” kata Asmah Mamai, 33, ibu kepada Nur Amirah Athirah Abdul Majid,14, yang dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di Bandar Sultan Suleiman, di sini, Ahad lalu.

Remaja itu menjadi perhatian di seluruh negara selepas kehilangannya menjadi viral apabila dikatakan diculik dan rakaman panggilan telefon kepada ibunya memberitahu dia diculik tersebar.

Bagaimanapun, dia ditemui selamat bersama lelaki dipercayai teman lelakinya di depan stesen minyak di Banting, 8 malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dipetik berkata, remaja itu dan lelaki terbabit yang berusia 19 tahun ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi menjejakinya di dalam kereta.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sengaja mengadakan cerita dirinya diculik.

Menurut Asmah, apapun yang berlaku, dia reda dan bersyukur kerana anaknya ditemui oleh anggota polis dalam keadaan selamat.

Asmah yang ditemui di rumahnya di Bandar Sultan Suleiman petang tadi berkata, dia dan suami dihubungi anggota polis pada 10 pagi tadi memaklumkan anak mereka sudah ditemui.

"Suami segera ke balai polis untuk melihat keadaan anak sulung saya, dan dia masih dalam keadaan baik.

"Saya berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bertungkus lumus menjejaki anak saya sehingga ditemui.

“Saya akan mencari jalan penyelesaian supaya perkara ini tidak berulang lagi. Saya dan keluarga harus berbincang sama ada untuk menukarkan dia ke sekolah lain atau sebaliknya," katanya yang sudah membuat persiapan persekolahan anaknya itu.

Asmah berkata, dia menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, rakan Nur Amirah yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, rakannya itu mengenali seorang lelaki yang didakwa teman lelakinya sejak seminggu lalu.

"Sebelum ini, Nur Amirah hanya berkelakuan seperti biasa dan tidak pernah mempunyai masalah dengan keluarga. Jika ada masalah dia ceritakan kepada saya.

"Saya terkejut apabila dia dikatakan dilarikan dan kemungkinan lelaki itu yang mempengaruhi Nur Amirah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Samah berkata, remaja lelaki itu dan rakannya berusia 45 tahun direman bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan remaja bawah umur 16 tahun tanpa keizinan penjaga yang sah.

"Hasil siasatan mendapati remaja perempuan itu menumpang di rumah rakan teman lelakinya yang berusia 45 tahun di Bandar Sungai Emas, Banting,” katanya.

Katanya, Nur Amirah turut disiasat kerana memalsukan maklumat dan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

myMetro 1 Jan 2016


Ibu bapa minta JKM jaga

Shah Alam: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang mendakwa dirinya diculik dari rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang Ahad lalu sebelum ditemui Khamis lalu akan ditempatkan sementara di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia adalah atas permintaan ibu bapa remaja itu selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Beliau berkata, kementeriannya melalui JKM akan menyediakan apa juga jenis bantuan yang difikirkan bersesuaian kepada remaja itu dan ibu bapanya termasuk ahli keluarga yang lain.

"Kita juga akan mengikuti perkembangan kes ini selain menyediakan bantuan perlu kepadanya sekeluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya turut menyarankan kepada semua saluran media termasuk media sosial supaya tidak memberi liputan yang keterlaluan dalam kes itu.

Rohani berkata, liputan yang keterlaluan boleh memberi kesan negatif kepada remaja itu dan ahli keluarga.

"Ini terutamanya pendedahan gambar yang boleh meninggalkan kesan tidak baik daripada segi psikologi.

"Oleh yang demikian, kementerian menyarankan supaya memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan rapi terhadap kes ini," katanya.

Sebelum ini remaja tersebut mendakwa dirinya diculik berhampiran rumahnya sebelum ditemui selamat bersama lelaki dipercayai teman lelakinya di depan stesen minyak di Banting kira-kira 8 malam Khamis lalu.

Remaja itu dan lelaki terbabit ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi menjejakinya di dalam kereta.

Siasatan awal polis mendapati mangsa sengaja mengadakan cerita dirinya diculik.

myMetro 3 Jan 2016


'Cukup sebar aib keluarga kami'

Kuala Lumpur: “Cukuplah dengan apa yang berlaku...sebagai bapa, saya memohon kepada pihak berkenaan supaya menghentikan penyebaran video parodi terbabit.

“Mungkin mereka yang merakamkan video berkenaan masih belum berkahwin atau memiliki anak.

“Apabila tiba masa kelak, saya percaya mereka pasti faham betapa sukarnya (mendidik zuriat),” kata bapa kepada remaja perempuan berusia 14 tahun yang mereka cerita dirinya diculik, Abdul Majid Landu, 40.

Menurut Abdul Majid, dia akur dengan dugaan yang diterima dan berharap masyarakat tidak terus menuding jari dan mencemuh keluarganya.

“Mungkin hari ini hari saya (diduga). Namun, sebagai bapa dan bagi pihak Nur Amirah Atirah sendiri, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Hentikanlah segala bentuk penyebaran tidak kira rakaman audio mahupun video parodi. Sudah-sudahlah menyebarkan aibkan keluarga kami,” katanya sebak.

Jelas Abdul Majid, dia menerima semua yang berlaku dan menganggap kejadian itu sebagai iktibar serta pengajaran terbaik buat keluarganya.

“Baik atau buruk, Nur Amirah tetap anak saya. Begitupun, saya harap apa yang berlaku kepada keluarga kami ini dapat menjadi teladan terbaik buat semua,” katanya.

Semalam, rakaman perbualan Nur Amirah mereka cerita dirinya diculik dari kawasan perumahan di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, terus viral di laman sosial berikutan dijadikan bahan parodi menerusi aplikasi telefon pintar Dubsmash.

Video pendek berdurasi satu minit 32 saat itu mengajuk kembali rakaman perbualan telefon antara Nur Amirah dengan kakak angkatnya, Noor Fazila Misnan, 23.

Berlatar belakangkan ruang dalam rumah dan ceruk bilik, video itu dilakonkan seorang lelaki berpakaian wanita dengan memek muka mengejek.

Video itu bukan saja dikongsi ramai pengguna laman sosial, malah turut disebarkan pemilik portal sebagai bahan jenaka.

myMetro 4 January 2016



0 comments:

Post a Comment