December 17, 2015

Remaja buntu dan trauma, kali kelima dipatuk ular

KUALA KRAI - Kejadian dipatuk ular sekali lagi menghantui seorang remaja dari Manek Urai, dekat sini yang sebelum ini trauma apabila dipatuk haiwan berbisa itu sebanyak empat kali sepanjang hidupnya.

Lebih luar biasa, kejadian itu hanya akan berlaku pada hari Isnin dan setiap ular pasti akan patuk di tempat sama iaitu di kaki kirinya.

Mohd Ayub Mohd Rozi, 19, berkata, dia mula dipatuk haiwan berbisa itu ketika berumur 10 tahun.

“Lepas itu saya kena patuk masa usia 13 tahun, 17 tahun dan pada Ogos lalu, yang terbaru hari Isnin lepas.

“Saya risau jika kejadian patuk ular ini berterusan dan beri kesan buruk terhadap kesihatan serta  keselamatan saya,” kata pelajar tahun akhir Diploma Marin Kargo Servier, Kolej Ronaco, Kemaman itu.

Menurutnya, minggu lalu ketika berada di Kemaman, dia bermimpi dipatuk ular dan segera menghubungi bapanya.

“Bapa terus minta saya balik kampung dan rujuk perubatan alternatif serta perubatan Islam. Bila balik, saya tinggal di rumah baharu sebab risau kejadian sama berulang di rumah lama.

“Tapi pada petang Isnin lepas, saya balik ke rumah lama sebab nak ambil motosikal dan tergerak hati pula nak mandi dulu sebelum balik ke rumah baru. Masa mandi, tak sangka sekali lagi saya dipatuk ular senduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ayub berkata, dia hairan kerana kejadian itu hanya menimpa dirinya, sedangkan dia tinggal bersama ibu, ayah dan enam adiknya di rumah berkenaan.

“Kali ini saya sempat kejar ular tersebut. Selalunya, disebabkan terkejut saya terus picit kaki di bahagian kena dipatuk. Saya buntu, trauma, takut dan tidak mahu lagi kejadian ini berulang. Saya harap ada mana-mana pihak boleh membantu,” katanya.

Bimbang keselamatan anak

Sementara itu, bapanya, Mohd Rozi Ibrahim, 43, berkata, sejak kecil Mohd Ayub kerap digigit binatang berbisa seperti lipan.

Bagaimanapun katanya, dia begitu bimbang keselamatan anaknya selepas kerap dipatuk ular kali kedua tahun ini.

“Saya dah jumpa ustaz minta nasihat hinggakan ada yang berikan tangkal ...tapi saya buang kerana bertentangan dengan agama.

“Macam-macam usaha saya buat dan saya amat berharap ada pihak dapat bantu kami,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid pula berkata, berdasarkan laporan diterima, kawasan semak berhampiran sungai, pinggir hutan, kawasan ladang dan kawasan terpencil menjadi tumpuan ular.

Menurutnya, bagi mengelak haiwan berbisa itu masuk ke dalam rumah, seterusnya mendatangkan bahaya kepada keluarga, orang ramai dinasihatkan menutup lubang kecil di rumah termasuklah lubang air dan bahagian bawah pintu kerana haiwan tersebut boleh masuk melalui lubang berkenaan.

“Bagi mengelak kawasan rumah menjadi tempat tumpuan ular, pastikan kawasan rumah sentiasa bersih dan tebas semak-samun.

“Pastikan kerap membersihkan tempat simpanan barang lama yang boleh jadi tempat persembunyian ular,” katanya.

Anugerah ALLAH SWT

Dalam pada itu, Pengasas Pondok Sungai Kenerong, Dabong, Mohd Samsuddin Dollah berkata, kemungkinan terdapat sesuatu yang luar biasa ke atas diri Mohd Ayub.

Menurutnya, Mohd Ayub perlu menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

“Kemungkinan ada sesuatu anugerah daripada ALLAH SWT kepadanya. Bagaimanapun, jangan percaya kepada perkara karut, sebaliknya terus berdoa supaya dilindungi daripada perkara buruk,” katanya.

Mohd Samsuddin berkata, semua itu hanyalah kemungkinan dan akan cuba membantu Mohd Ayub untuk melihat punca di sebalik kejadian berkenaan.

Musyrif Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman pula berkata, sekiranya bermimpi perkara buruk, elakkan menceritakannya kepada orang lain kerana khuatir mimpi tersebut menjadi kenyataan.

“Jika dirujuk sunnah nabi, sebaik terjaga selepas mimpi perlu meludah ke kiri sebanyak tiga kali. Kemudian minta pertolongan ALLAH SWT agar dilindungi daripada kejadian seperti yang dimimpikan. Juga jangan ceritakan tentang mimpi itu pada orang lain, bimbang ia benar-benar berlaku,” katanya.

Sinar Harian 17 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment