December 21, 2015

Rakyat Malaysia terbunuh di Abu Dhabi

Fatimah (kanan) menatap wajah Mohd Shukri yang terbunuh di Abu Dhabi di telefon bimbit bersama Faizol. FOTO Bernama

Besut: Seorang pekerja warga Malaysia berasal dari Besut terbunuh dalam kejadian dandang meletup di kilang plastik di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu.

Mohd Shukri Sulaiman, 45, yang bekerja sebagai juru dandang dengan Al-Borouge Pte Company Limited sejak 2011 sedang melakukan pemeriksaan apabila sebuah daripada dandang berkenaan tiba-tiba meletup.

Adik mangsa, Faizol, 42, berkata, keluarga mereka dimaklumkan mengenai kejadian malang yang menimpa abangnya itu oleh rakan abangnya yang bekerja di syarikat sama dan juga berasal dari Besut.

Ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Padang Landak di sini, hari ini, katanya rakan abangnya, Ahmad Syukkri Md Nor, 33, memaklumkan kepada mereka pada kira-kira pukul 2 pagi Sabtu.

"Ahmad Syukkri memaklumkan yang beliau telah mendengar letupan kuat pada pagi berkenaan (Sabtu) dan telah pergi ke tempat kejadian sebelum menemui mangsa terbakar hampir keseluruhan badan berdekatan dengan dandang (boiler) di situ," katanya.

Menurutnya, abangnya Saria, 52, dijangka berlepas ke Abu Dhabi hari ini untuk urusan mengenal pasti jenazah arwah dan urusan berkaitan.

Faizol berkata, abangnya itu ialah anak keenam daripada 11 beradik dan arwah meninggalkan seorang isteri, Azmahani Mamat, 43, dan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 dan 7 tahun yang tinggal di Indera Mahkota, Kuantan.

Katanya, Mohd Shukri pernah bertugas dengan Petronas di Kerteh, Syarikat Grace di Kuantan, YTL di Paka, Malaysia Newsprint Industry (MNI) di Mentakab dan Electric Suplly Board di Kulim sebelum menyertai syarikat di UAE itu.

Sementara itu, ibu arwah Fatimah Ismail, 72, berkata, dia reda kerana apa yang terjadi adalah dengan kehendak Allah swt.

Katanya, anaknya itu bercuti dan balik selama seminggu pada 7 Disember lalu dan membawanya bersama-sama isteri dan anaknya bercuti di Kundasang, Sabah. Bernama

myMetro 20 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment