December 25, 2015

'Pulanglah nak...ayah dah tiada'


Kuantan: “Sudah empat tahun saya memendam rindu dan hanya sepasang baju dan beberapa keping gambar menjadi pengubat duka,” kata Maimun Awang, 52, yang mengharapkan anak tunggalnya, Norlida Othman, 22, pulang ke pangkuan.

Katanya, kali terakhir mereka berhubung ketika Norlida masih menuntut di Kolej Massa Bukit Prima, Puchong, Selangor, pada Ogos, empat tahun lalu dan sejak itu gadis berkenaan terus menghilangkan diri.

“Dia menghubungi saya dua hari sebelum Aidilfitri, empat tahun lalu dan memberitahu akan pulang beraya bersama selain menyatakan hasrat bertukar tempat belajar di Pulau Pinang, namun sehingga hari ini dia tidak pernah pulang mahupun menghubungi saya.

“Malah, nombor telefonnya juga sudah ditukar dan saya buntu mahu mencarinya kerana tidak tahu di mana dia berada sekarang ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Chempaka, di sini, semalam.

Maimun berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang petunjuk daripada pihak berkenaan.

“Melalui penyata akaun bank miliknya yang dihantar ke alamat rumah ini setiap bulan mendapati ia masih aktif dan banyak transaksi direkodkan menunjukkan dia selamat dan mungkin sudah bekerja, tetapi kenapa sehingga hari ini dia tidak mahu pulang.

“Tiada sebarang masalah antara kami, malah kali terakhir kami berbual melalui telefon, dia seperti biasa saja seperti tidak sabar untuk pulang ke kampung,” katanya yang menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu.

Maimun berkata, dia tidak tahu sama ada anaknya itu sudah maklum atau tidak mengenai kematian suaminya, Othman Abdullah, tahun lalu akibat serangan jantung.

“Saya merayu dia segera pulang dan kami akan menerimanya dengan besar hati selain berharap sesiapa yang mengenali atau mengetahui di mana dia berada boleh menghubungi saya di talian 017 9739623,” katanya.

myMetro 24 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment