December 23, 2015

Pulanglah nak...


Umba membuat aduan mengenai kehilangan anaknya petang tadi. FOTO Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: "Saya rindukan anak perempuan tunggal saya, sudah 23 hari dia menghilangkan diri. Pulanglah nak...," rayu Umba Anak Riki, 38 yang kehilangan anaknya sejak 30 November lalu, di Hulu Selangor.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, ibu kepada dua anak itu menghantar anak sulungnya, Ooi Li Chin,16, untuk bekerja di kedai telefon di pasar raya di Bukit Beruntung sebelum menjemputnya kembali pada 6 petang.

Bagaimanapun, selepas hampir sejam menunggu anaknya tidak muncul.

"Saya menghubungi majikan anak dan mereka mendakwa anak saya tidak bekerja kerana mengambil cuti beberapa hari.

"Kami sekeluarga buntu untuk mencarinya dan tidak tahu mengapa dia bertindak sedemikian kerana kami tidak pernah bergaduh. Dia anak kesayangan kami," katanya yang membuat aduan di Wisma MCA, petang tadi.

Menurutnya, dia ada menghubungi teman lelaki anaknya itu kerana sebelum ini pernah melarikan diri dari rumah kerana terpengaruh dengan rakan.

"Saya menghubungi teman lelakinya, tetapi dia mendakwa mereka sudah tidak berhubung sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Datuk Seri Michael Choong berkata, dia yang menerima aduan itu memohon supaya sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu segera tampil ke balai polis atau hubungi pejabat MCA.

"Ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati dan memantau pergerakkan anak supaya tidak terpengaruh dengan gejala sosial.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu boleh menghubungi Pejabat Biro Aduan MCA di talian 03-22033888," katanya.

myMetro 22 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment