December 28, 2015

Polis reman pengarah tiga hari


Sumbu badak yang dicuri ketika dijemur di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru pada 19 Oktober lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan yang ditahan pada malam Jumaat lalu setelah dia disyaki mencuri sumbu badak milik Sultan Johor yang berusia lebih 100 tahun direman selama tiga hari bermula kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pegawai kanan berumur 46 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun penjara serta denda, jika sabit kesalahan.

Kosmo 28 Dis 2015


Padah kebas sumbu badak

Johor Bahru: Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor ditahan malam tadi selepas disyaki mencuri sumbu badak berusia lebih 100 tahun milik Muzium Diraja Johor, Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki berusia 46 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Derah Johor Bahru Selatan di sini, kira-kira 9 malam tadi.

Beliau berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Bangunan Sultan Ibrahim di sini, suspek yang menghadiri mesyuarat di bangunan berkenaan, didapati mengambil sumbu badak yang dijemur di hadapan bangunan itu, kira-kira 2.30 petang, 19 Oktober lalu.

"Pihak muzium menyedari kehilangan barangan yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu dan mengenalpasti suspek menerusi CCTV, sebelum menghubungi suspek.

"Suspek yang pada mulanya mengaku tidak bersalah, bagaimanapun memulangkan barangan terbabit melalui pemandunya dua hari selepas kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

myMetro 26 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment