December 29, 2015

Polis minta saksi tampil kes penemuan mayat

JEMPOL - Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat seorang lelaki di Kebun Kelapa Sawit Ladang Geddes, Bandar Seri Jempol, di sini, 19 Disember lalu, diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Jempol, Deputi Superintenden Azham Shah Azlan berkata, pihaknya menerima satu panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai lelaki itu yang didakwa mabuk dan tidak sedarkan diri, sekitar jam 9.45 malam.

"Setibanya di lokasi, kita dapati lelaki terbabit dalam keadaan terbaring. Berdasarkan siasatan awal, dia telahpun meninggal dunia. Mangsa dikenal pasti sebagai K Vasu berusia 37 tahun.

"Susulan itu, mayatnya dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut pada awalnya," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak Hospital Jempol memutuskan untuk merujuk kes itu ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban berikutan terdapat tanda wujudnya perlakuan jenayah.

"Pada 21 Disember lalu, mayat mangsa tiba di HTJ. Hasil bedah siasat mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan terhadap tisu lembut akibat objek tumpul dan perubahan lemak pada hati.

"Berdasarkan penemuan terbaru ini, polis membuat keputusan untuk mengklasifikasikan semula kejadian ini kepada kes bunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian 27 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment