December 7, 2015

Polis dikejar lelaki mental bersenjata

KERETA polis & motosikal yang dipecahkan suspek dengan parang.

Nilai: Empat anggota polis cemas apabila dikejar lelaki mental bersenjatakan parang di rumah pangsa di Nilai Perdana, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian 9.15 pagi itu, Balai Polis Nilai menerima panggilan wanita mengatakan suaminya berusia 46 tahun mengamuk.

Katanya, sehubungan itu dua anggotanya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, lelaki itu mengacukan parang terhadap anggota polis terbabit.

"Biarpun diberi amaran tidak melakukan sesuatu, lelaki berparang itu mengejar dua anggota berkenaan dari tingkat tiga sehingga ke bawah.

"Sewaktu berada di tingkat bawah, suspek yang ternampak kereta polis memecahkan tiga cermin kenderaan itu menggunakan parang," katanya.

Zaldino berkata, ketika itu dua anggota polis bermotosikal turut tiba di lokasi dan suspek juga bertindak menyerang mereka.

"Dua anggota terpaksa menyelamatkan diri dan suspek bertindak memecahkan tangki petrol dan kotak mengisi barangan pada motosikal polis," katanya.

Menurutnya lagi, lelaki itu kemudian menggeledah kereta polis dan empat anggota dengan bantuan orang ramai mencekup lelaki berkenaan.

"Berlaku sedikit pergelutan dan suspek mengalami kecederan di bahagian dahi serta tangan," katanya.

Zaldino berkata, temu bual bersama isteri suspek mengatakan suaminya pesakit mental dan tidak bekerja sejak 15 tahun lalu.

"Sehubungan itu, lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk pemeriksaan kesihatan," katanya.

myMetro 6 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment