December 28, 2015

Percutian terakhir Aziz Desa bersama keluarga di Phuket


ALOR SETAR – Bekas wartawan dan pengacara televisyen terkenal, Aziz Desa (gambar) menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Seri Dayang, Pulau Langkawi semalam akibat komplikasi diabetes, buah pinggang dan jantung.

Allahyarham atau nama sebenarnya Abdul Azid Desa, 50, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.50 pagi meninggalkan seorang isteri, Raden Norazlina Raden Jumari, 50, dan enam cahaya mata berusia antara 13 hingga 22 tahun.

Aziz yang merupakan bekas wartawan Berita Harian juga pernah berkhidmat di stesen penyiaran TV3 dan mengendalikan program bual bicara terkemuka seperti Malaysia Hari Ini (MHI) dan Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Sewaktu mengacarakan MHI, Aziz digelar Mat Cermin kerana popular dengan tagline Cermin cermin diri.

Kosmo 28 Dis 2015


Aziz Desa sudah tiada

AHLI keluarga dan jiran membaca yasin di kediamannya di Taman Seri Dayang, Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

Langkawi: Bekas wartawan Berita Harian (BH) dan bekas pengacara TV3, Aziz Desa, 50, meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi ini dipercayai akibat masalah buah pinggang kronik dan penyakit kencing manis.

Aziz atau nama sebenar Abdul Azid meninggal dunia di rumahnya di Taman Seri Dayang, Mukim Kuah, di sini.

Isterinya, Raden Norazlina Raden Jumari, 50, berkata, Aziz yang menghidap masalah buah pinggang kronik, penyakit kencing manis dan jantung menjalani proses heamodialisis tiga kali seminggu.

"Kami sekeluarga termasuk arwah baru pulang bercuti di Phuket, Thailand, kira-kira jam 6 petang semalam dan sebaik tiba di rumah arwah terus meminta untuk tidur di atas katil.

"Arwah tidur dengan ditemani anak di ruang tamu, manakala saya di dalam bilik di belakang dan hanya sedar dia sudah tidak bergerak serta badannya sejuk pada jam 10.30 pagi ini," katanya.

Raden Norazlina berkata, jenazah Aziz akan disembahyangkan di Masjid Al-Hana Kuah dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayas, di sini, yang juga kampung halaman Aziz pada 5 petang ini.

Aziz yang pernah mengacarakan beberapa program TV termasuk Nasi Lemak Kopi O dan Malaysia Hari Ini serta terkenal dengan slogan 'Cermin-cerminkan diri anda'.

myMetro 27 Disember 2015




0 comments:

Post a Comment