December 7, 2015

Penuntut kolej hilang dipukul ombak besar

Kemaman: Penuntut Kolej Latihan dan Pendidikan Ranaco Kijal dikhuatiri lemas selepas tenggelam akibat dipukul ombak di Pantai Kijal, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, Mohd Saufi Mukset, 19, dari Kota Tinggi, Johor bersama lima rakan sekelas dikatakan melalui kawasan batu untuk pulang ke asrama selepas mandi.

Mereka kemudian dipukul ombak besar yang datang tiba-tiba sebelum ditarik ke tengah laut.

Mangsa dikatakan tenggelam dan hilang manakala lima rakannya menyelamatkan diri.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kerteh diketuai Penolong Penguasa Bomba Khairulhasni Mokhtar terpaksa menghentikan pencarian berikutan ombak besar dan arus kuat dan hanya dapat meneruskan operasi 7 pagi tadi.

myMetro  6 Disember 2015


Mayat pelajar Ranaco sudah ditemui

Mayat pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco, Mohd Saufi Mukset, 19, (dua dari kiri) ditemui petang tadi selepas dihanyutkan ombak Sabtu lalu. - Foto NSTP

Kerteh: Mayat pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco, Mohd Saufi Mukset, 19, yang hilang selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal Sabtu lalu, ditemui kira-kira jam 4.45 petang tadi.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran sebuah resort kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang kelmarin, Mohd Saufi bersama lima rakan sekelas dikatakan melalui kawasan berbatu untuk pulang ke kediaman mereka selepas mandi.

Mereka yang mengambil jurusan Keselamatan Kesihatan di Kolej Latihan dan Pendidikan Ranaco Kijal kemudian dipukul ombak besar secara tiba-tiba sebelum ditarik ke laut menyebabkan mangsa hilang.

myMetro 7 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment