December 4, 2015

Penjenayah amat dikehendaki ditembak mati

ANGGOTA forensik polis melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang ditembak mati

Gombak: Polis menembak mati penjenayah yang amat dikehendaki di Templer Park, Rawang, di sini, kira-kira 2.30 awal pagi tadi.

Bagaimanapun rakan suspek sempat melarikan diri ke kawasan berlukar selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas.

Sebelum itu, dua suspek dalam keadaan mencurigakan dikatakan terserempak dengan kenderaan polis yang sedang membuat rondaan sebelum memecut kenderaan dinaiki untuk melepaskan diri.

Suspek jenayah samun bersenjata itu yang maut di lokasi kejadian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Difahamkan polis turut menemui beberapa senjata dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah.

myMetro 2 Disember 2015



Penjenayah kes samun mati ditembak

Seorang lagi suspek lari ke dalam hutan

GOMBAK 2 Dis. - Rancangan dua penjenayah bersenjata untuk memecah masuk sebuah rumah di Taman Templer, di sini gagal apabila salah seorang daripada mereka mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta yang dipercayai dicuri terlebih dahulu ‘diserbu’ Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman ketika dalam perjalanan untuk melakukan jenayah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, ketika diserbu dan dikejar, kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis.

Beliau berkata, tindakan suspek yang agresif itu memaksa pihaknya mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan balas ke arah mereka yang masih berada di dalam kenderaan.

“Mereka melarikan diri ke arah Rawang sebelum kereta yang dinaiki terbalik ketika melakukan pusingan U.

“Salah seorang suspek yang duduk di bahagian penumpang ti­ba-tiba keluar dari kenderaan dan rebah sementara rakan jenayahnya yang memandu kereta melarikan diri ke arah hutan berhampiran,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ali memberi­tahu, pihaknya masih tidak dapat mengesan identiti suspek yang maut kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan namun anggaran umur dipercayai berusia sekitar 35 hingga 40 tahun.

Ujarnya, pihaknya turut menjumpai tiga peluru hidup pada suspek serta sepucuk pistol semi automatik di kerusi se­belah pemandu selain beg galas berisi parang, pemutar skru, sarung muka, pemotong besi dan lain-lain.

“Kenderaan yang digunakan suspek pula didapati dilaporkan hilang di Batu Arang dekat sini,” katanya.

Menyentuh tentang peningkatan kes samun di sekitar Taman Templer, Ali menjelaskan, sepanjang tahun ini sahaja terdapat lima kes samun bersenjata parang serta empat kes pecah rumah di situ.

“Oleh demikian, Op Bersepadu dilancarkan polis Selangor dengan kerjasama Stafoc sejak Julai lalu bagi mengesan dan menumpaskan kumpulan penjenayah itu.

“Penjenayah yang berjaya ditum­paskan polis hari ini dipercayai aktif melakukan jenayah sama di sekitar Selangor serta Pahang dan kami masih memburu suspek-suspek lain yang masih bebas,” tambahnya.

Utusan 3 Dis 2015





0 comments:

Post a Comment