December 31, 2015

Pengarah Urusan rugi RM7 juta

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Gara-gara terpedaya dengan janji manis rakan niaga mengenai urusan pembelian saham, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah terkenal mengalami kerugian kira-kira RM7 juta.

Difahamkan, mangsa mula berurusan dengan rakan niaga­nya beberapa tahun lalu dan telah menandatangani perjanjian pembelian saham sebuah syarikat kejuruteraan yang menjanjikan keuntungan yang besar.

Syarikat kejuruteraan terbabit juga dikatakan telah mendapat kontrak bernilai ratusan juta ringgit daripada sebuah syarikat gergasi di negara ini.

Berikutan itu, mangsa telah mengeluarkan beberapa keping cek bernilai kira-kira RM7 juta termasuk untuk membayar modal perniagaan bagi syarikat kejuruteraan berkenaan beroperasi.

Bagaimanapun mangsa yang melakukan penyelidikan mengenai syarikat kejuruteraan itu mendapati maklumat yang diberikan tidak benar dan telah bertindak menjual kembali sahamnya.

Malangnya mangsa gagal memperoleh kembali pelaburan yang dibuatnya dan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kes tersebut pada pertengahan bulan ini.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang mengesan suspek untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Utusan 29 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment