December 9, 2015

Pemilik pusat tuisyen antara didakwa culik bayi

Melaka: Pemilik pusat tuisyen dan adik perempuannya antara empat yang didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan menculik dan menahan bayi lelaki di Taman Kota Laksamana, dekat sini, 24 November lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Berdasarkan pertuduhan, Bong Wei Na, 24; Bong Wei Yee, 21; Law Jien Wen, 21 dan James Tan Chiat Shen, 18, didakwa menculik dan menahan bayi lelaki berusia 12 hari dengan niat meminta wang tebusan RM200,000 dari ibu bayi terbabit, Chong Sue Mei, 20.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban memohon tarikh baharu sementara siasatan penuh disiapkan.

myMetro 7 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment