December 29, 2015

Pemandu teksi maut ditikam di persimpangan lampu isyarat

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa, Sudin Awang, 67, maut serta-merta di tempat kejadian selepas bergelut dengan suspek.

KOTA BHARU - Seorang pemandu teksi maut dipercayai ditikam seorang suspek bermotosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas - Salor di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa, Sudin Awang, 67, maut serta-merta di tempat kejadian selepas bergelut dengan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, sebelum kejadian suspek mengekori mangsa dari arah belakang teksi yang dipandu.

"Ketika mangsa memberhentikan kereta di persimpangan empat lampu isyarat terbabit suspek berkenaan bertindak memecahkan cermin teksi.

"Mangsa yang keluar daripada kereta kemudian dipercayai ditikam senjata tajam sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE

28 Dis 2015


Pemandu teksi maut ditikam

Mayat mangsa berada di sebelah teksi yang dipandunya dalam kejadian terbabit petang tadi. Foto Sinar Harian

Kota Bharu: Pemandu teksi berusia 67 tahun maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh lelaki tidak dikenali di Jalan Pasir Mas-Salor, dekat persimpangan lampu isyarat Kampung Pendek, di sini.

Kejadian berlaku antara 1 hingga 2 petang tadi ketika mangsa mahu menghantar seorang penumpang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, mangsa sebelum itu diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal.

"Apabila tiba di tempat kejadian, suspek memecahkan cermin belakang teksi menyebabkan mangsa keluar daripada kenderaannya.

"Dia kemudian ditikam dipercayai dengan senjata tajam dan meninggal dunia serta merta. Penumpang teksi itu tidak cedera, kemudian lari menyelamatkan diri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

myMetro 28 Disember 2015


Anak akui ayah pernah diserang lelaki

KOTA BHARU - Anak pemandu teksi yang mati ditikam di Jalan Pasir Mas-Salor di sini, hari ini, berkata, bapanya pernah diserang seorang lelaki tidak dikenali kira-kira enam bulan lepas.

Rosnani Sudin, 33, berkata lelaki terbabit yang menunggang sebuah motosikal, cuba memecahkan cermin teksi bapanya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berdekatan Balai Islam Lundang di sini, tetapi gagal berbuat demikian.

"Setahu saya, ayah tidak mempunyai musuh...ayah mesra dengan semua orang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang tadi, Sudin Awang, 67, dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, mati ditikam seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika menghentikan teksinya di persimpangan lampu isyarat itu.

Rosnani berkata kali terakhir beliau menemui bapanya dua hari lepas.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa Mohd Nazri Hanafiah, 23, berkata, beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa bapanya oleh jirannya.

"Saya mendapat tahu berita itu kira-kira 3 petang. Sebelum itu, saya sudah menerima mesej (Whatapps) berkaitan berita itu, cuma saya tidak percaya.

"Waktu itu, saya berada di sebuah bank di Pasir Tumbuh. Selepas mendapat panggilan dari jiran, barulah saya percaya bahawa ayah saya mati dalam keadaan yang menyedihkan," katanya.

Beliau berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Lanas selepas selesai bedah siasat oleh pihak hospital. - Bernama

28 Dis 2015


‘Arwah ayah pernah diserang Jun lalu’

NAZRI HANAFIAH SUDIN menunjukkan gambar bapanya, Sudin Awang dan ibunya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 28 Dis. – Pemandu teksi, Sudin Awang, 67, yang maut ditikam di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas - Salor, di sini hari ini pernah diserang oleh seorang lelaki pada Jun lalu.

Anaknya, Nazri Hanafiah, 25, berkata, pada ketika itu, ayahnya diserang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Islam, Lundang di sini.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, mangsa yang sudah memandu teksi lebih 30 tahun tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Sebelum ini arwah ayah pernah diserang lelaki di lampu isyarat berhampiran Balai Islam, Lundang di sini sekitar Jun lalu. Lelaki yang tidak dikenali itu cuba memecahkan cermin teksi ayah tetapi tidak berjaya.

“Saya berharap agar pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut untuk menahan suspek yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa sedang memandu teksi jenis Proton Wira dengan membawa seorang penumpang lelaki datang dari arah Dewan Beta di sini.

Setibanya di lokasi kejadian, Sudin memberhentikan teksinya berikutan lampu isyarat tersebut dalam keadaan merah sebelum seorang lelaki memberhentikan motosikal dan bertindak memecahkan cermin di bahagian penumpang hadapan serta belakang menggunakan senjata tajam.

Semasa kejadian, persimpangan tersebut sibuk dengan trafik dan orang ramai hanya mampu melihat tindakan suspek tersebut.

Nazri memberitahu, dia me­ngetahui kejadian malang me­nimpa arwah ayahnya itu kira-kira pukul 3 petang selepas menerima panggilan daripada seorang jiran.

Katanya, sebaik sahaja me­ngetahui kejadian itu, dia terus menelefon kakaknya dan kemudian bergegas ke hospital.

Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham, Rosnani, 33, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah ayahnya itu dua hari lalu ketika pulang ke kampung di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh.

“Arwah ayah seorang periang, namun berubah menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap,” ujarnya.

29 Disember 2015


Polis Kelantan edar fotofit suspek kes bunuh pemandu teksi

Fotofit suspek yang dipercayai terbabit dalam kes seorang pemandu teksi mati ditikam seorang penunggang motosikal di kawasan lampu isyarat Jalan Salor Baru. Fotofit ini dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan.

KOTA BHARU - Polis mengedarkan fotofit suspek dalam pembunuhan seorang pemandu teksi di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, polis meminta kerjasama daripada masyarakat bagi menjejaki suspek dalam kes bunuh itu.

"Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek tampil membuat laporan kepada polis.

"Siasatan awal kami mendapati suspek adalah seorang lelaki yang mempunyai kulit gelap dan berbadan kurus, berusia antara 20-an dan 30-an," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, Sudin Awang, 67, dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, mati ditikam seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu. - Bernama

29 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment