December 1, 2015

Pasangan kekasih disamun 'penguat kuasa JAIS'

Shah Alam: Sepasang kekasih hampir kerugian RM6,500 apabila cuba disamun dua lelaki yang menyamar penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Seksyen 18, di sini, awal pagi semalam.

Pasangan terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila ternampak pasukan peronda polis yang membuat rondaan di kawasan itu sebelum menjerit meminta bantuan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, pasangan yang masing-masing berusia 32 dan 21 tahun terbabit ditahan dua lelaki menaiki motosikal yang mengaku sebagai penguat kuasa JAIS sebelum dibawa ke bank berhampiran untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa perlu dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dua lelaki yang juga kontraktor itu meminta wang daripada mangsa kononnya untuk melepaskan mereka daripada dakwaan berkhalwat dan mangsa bersetuju dengan mengeluarkan wang berjumlah RM6,500 daripada akaun bank masing-masing.

"Bagaimanapun, seorang daripada suspek tidak berpuas hati selepas mangsa lelaki hanya mengeluarkan sejumlah RM1,500 dan berlaku pertengkaran antara mereka.

"Ketika bertengkar, pasukan peronda polis membuat rondaan dan mangsa yang ternampak polis menjerit meminta bantuan sebelum kedua-dua suspek berusia 32 dan 33 tahun ditahan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

myMetro 30 November 2015

0 comments:

Post a Comment