December 4, 2015

'Paras air biasa lagi boh!'

PENDUDUK mengharungi air sedalam 0.5 meter.

Rantau Panjang: “Biasa lagi ni boh (Ini masih biasa, encik),” kata Mohd Razali Che Ngah 34, seorang mangsa banjir di Kampung Banggol Nyior di sini, semalam.

Dia bercerita mengenai banjir gelombang pertama yang berlaku di perkampungannya berikutan limpahan air Sungai Golok yang melepasi paras bahaya (9.60 meter) susulan hujan lebat beberapa hari lalu.

Mohd Razali berkata, air mula memenuhi pekarangan rumah antara paras 0.5 meter dan dua meter sejak tiga hari lalu hingga mengakibatkan kampungnya terputus hubungan dan terpaksa menggunakan bot untuk ke jalan utama.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu biasa dihadapi mereka yang tinggal di tebing Sungai Golok dan masih dianggap pra banjir.

“Setakat ini, paras air masih di paras biasa dan tidak membimbangkan kerana setiap tahun kampung ini akan dinaiki air pada musim tengkujuh.

“Tambahan pula, hampir semua rumah penduduk di sini dibina tinggi untuk mengelak kediaman dimasuki air. Jadi kita tak bimbang mana.

“Sebab itulah saya kata banjir ini biasa saja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lima kampung lain yang turut terjejas Kampung Bonggor, Kampung Jejawi, Kampung Lancang, Kampung Kelewar dan Kampung Binjai.

Berkongsi nasib sama, Hapisah Che Weil, 59, yang sudah bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi banjir disebabkan rumahnya pernah tenggelam ketika bencana tahun lalu.

“Semua barang keperluan sudah siap dibungkus dan diletakkan di tempat yang tinggi sebagai persediaan hadapi banjir lagi.

“Kami bersedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jejawi/Banggol Nyiur, Abdul Aziz Che Kob mengakui bimbang dengan situasi banjir yang dianggap luar biasa berbanding sebelum ini.

“Kebiasaannya kalau gelombang pertama, air hanya berada di sekitar jalan sahaja, bagaimanapun tahun ini, air mula memasuki rumah.

“Saya risau jika berlaku pertembungan antara air Sungai Golok dan air Sungai Batu Hampar yang akan menyebabkan kejadian banjir besar seperti tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, selain persiapan rumah sendiri, 900 keluarga di kampung itu turut membantu satu sama lain dengan menyimpan bekalan makanan dan bot untuk berpindah.

myMetro 2 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment