December 29, 2015

Mi segera alas perut empat beranak


Wan Azlan bersama Masitah sedang memilih pakaian sekolah Nor Alia yang gembira dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan baharu, Januari depan.

KUANTAN – “Biasanya kalau saya tak kerja, saya hanya mampu beri anak-anak dan ibu makan mi segera sup dengan telur saja. Beli kelengkapan barang persekolahan memang jauh sekali," luah Masitah Ab Rahman, 30.

Dia yang juga ibu tunggal hadir bersama anaknya, Nor Alia Atikah Mohammad Zahor, 12, yang menghidap sakit saraf tulang kaki,  menerima bantuan persekolahan daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan Beserah dan Sungai Karang (Bakkis) dengan kerjasama CNL Tenaga Resources.

“Saya bersyukur dengan bantuan ini memandangkan pendapatan saya yang hanya kerja sebagai pembantu kantin sekolah sememangnya tak cukup untuk menyara dua anak dan seorang ibu yang sudah tua selepas kematian suami enam bulan lalu," katanya.

Menurut Masitah, dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, biasanya dia akan mendahulukan pembayaran rumah sewa sekitar RM600 dan selebihnya untuk perbelanjaan persekolahan dan makan minum keluarga.

“Saya terpaksa catu makan minum dan kadang-kadang tak mampu beli barangan basah, apa lagi untuk persediaan persekolahan anak.

“Saya bersyukur sebab anak tak kisah malah mereka terima sekiranya terpaksa menggunakan pakaian dan peralatan sekolah yang lama.

“Dengan adanya bantuan ini, ringanlah sikit beban saya, anak pun gembira dan mereka tak sabar nak mulakan persekolahan,” katanya.

Sementara itu, pada program tersebut, kira-kira 250 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan yatim menerima kelengkapan persekolahan bagi memulakan sesi baharu, Januari depan.

Yang Dipertua Bakkis, Wan Azlan Wan Salleh berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban keluarga miskin dan yatim memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.

“Dengan bantuan sebegini, ibu bapa tidak perlu lagi memikirkan soal kelengkapan seperti baju, seluar, tudung, stoking, kasut dan beg malah wang yang ada boleh digunakan untuk keperluan lain.

“Kita faham kedudukan kewangan mereka sekarang ini dan kerana itu kami menaikkan jumlah bantuan RM150 seorang berbanding tahun sebelum ini sekitar RM120 sahaja,” katanya.

Sinar Harian 28 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment