December 21, 2015

Menantu tetak ibu mentua

Butterworth: “Abang ipar ambil parang dari kereta dan menetak tangan emak selepas bertengkar. Dia kemudian menyerang bapa dan abang,” kata seorang ahli keluarga mangsa tetak di Jalan Merbau Kudung, Sungai Dua, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.24 malam kelmarin, tiga beranak cedera parah selepas ditetak dua lelaki yang juga ahli keluarga mereka di sebuah kedai motosikal.

Mangsa, Ching Hian Hock, 58, Ooi Ah Bee, 53, dan Ching Boon Tatt, 29, cedera parah di tangan akibat ditetak dengan parang serta gergaji besi.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali itu berkata, selepas menyerang ibunya, abang ipar itu kemudian pergi ke kedai motosikal dan menyerang bapa serta abangnya pula.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan keadaan agak kelam-kabut. Kakak turut pergi ke kedai dan cuba menahan suami daripada terus menyerang bapa dan abang.

“Kami segera menghubungi polis untuk meminta bantuan dan menghantar ibu, bapa dan abang ke hospital swasta berhampiran.

“Selepas kejadian itu, abang ipar pulang ke rumahnya dan ditahan polis. Punca kejadian kerana abang ipar yang tidak bekerja sering meminta duit daripada kakak selain selalu bergaduh,” katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perbalahan dalam keluarga berkenaan dan kedua-dua suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa.

“Difahamkan, suspek ialah menantu dan besan kepada mangsa dan pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati sesama mereka,” katanya.

Menurutnya, dua suspek itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) tidak lama selepas kejadian dan polis merampas parang serta gergaji yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan semua mangsa dihantar ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

myMetro 20 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment