December 23, 2015

Mayat seorang daripada dua remaja ditemui

Anggota bomba mengusung mayat seorang daripada dua pelajar tahfiz dari Johor yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh. FOTO Rozainah Zakaria

Permaisuri: Mayat seorang daripada dua mangsa lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, ditemui sebaik operasi mencari dan menyelamat disambung 10.30 pagi tadi.

Komander operasi, Penguasa Bomba JBPM Terengganu Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat ditemui terapung di permukaan laut oleh polis marin kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Jeti Kampung Mangkuk di sini kerana bot bomba tidak boleh berlabuh di kawasan operasi berikutan ombak besar.

"Mayat akan diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Setiu," katanya.

Identiti mayat masih belum dikenal pasti.

Semalam, dua remaja, Mohd Naim Adnan dan Muhammad Wafiq Mohd Noor, kedua-duanya berusia 17 tahun, dilaporkan hilang selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Rhu Sepuluh, di sini.

myMetro 22 Disember 2015


Dua pelajar tahfiz hilang, satu diselamatkan

Setiu: Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas, manakala seorang diselamatkan orang awam ketika mandi di Pantai Rhu 10, di sini, kira-kira 9.30 pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, dua pelajar berkenaan ialah Mohd Naim Adnan berasal dari Kampung Seri Bengkal, Batu Pahat dan Mohd Wafiq Mohd Nor dari Mukim 6, Parit Yaani, Yong Peng, Johor.

Menurutnya, pelajar yang diselamatkan pula dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.

"Kami menerima panggilan pada 9.46 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

"Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan orang awam bagaimanapun buat masa ini hanya dapat meneruskan pencarian di persisir pantai berikutan ombak besar yang menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hilang," katanya.

myMetro 21 Disember 2015


Cari sampai Pulau Bidong, Redang

Anggota Bomba dan Penyelamat mencari mangsa di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik.

Permaisuri: Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, Muhamad Wafiq Mohd Noor, 17, diperluaskan hingga ke perairan Pulau Bidong dan Redang.

Operasi pencarian masuk hari keempat bermula jam 8 pagi semalam selepas dihentikan seketika jam 7 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu Penolong Penguasa Bomba Mohd Anuar Mamat berkata, operasi itu membabitkan 30 anggota bomba dan penyelamat, termasuk 10 anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menggunakan dua bot kevlar dan bot aluminium.

“Lain-lain agensi terbabit ialah polis (26), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) (31), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (10) dan bantuan lain daripada unit amal (10) serta 20 bot nelayan Persatuan Nelayan Penarik,” katanya.

Menurutnya, keadaan laut tenang dan kurang bergelora selain cuaca baik membolehkan usaha mencari mangsa lemas dilakukan tanpa banyak halangan.

myMetro 25 Disember 2015


Mayat mangsa lemas kedua ditemui

Mayat Muhammad Wafiq diusung sebelum dibawa ke HSNZ. FOTO ihsan bomba

Marang: Mayat seorang lagi remaja yang hilang selepas mandi di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, Isnin lalu ditemui terdampar di Pantai Rhu Muda, Marang, 12.30 tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, ditemui kira-kira 100 kilometer mengikut jalan darat dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum

dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengecaman dibuat oleh kembar arwah, Muhammad Wafiy, 17, berdasarkan pakaian yang dipakai.

"Sah memang adik saya. Syukur alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami sekeluarga sejak hari kejadian, (supaya Muhammad Wafiy ditemui)" katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HSNZ.

Katanya, dia dan adik-beradik serta bapa, Mohd Noor Ismail, 58, dan ibu, Zabedah Kamdan, 55, bersyukur mayat adiknya ditemui meskipun pada jarak lebih 100 kilometer dari tempat kejadian.

"Saya menerima berita penemuan mayat sebelum solat Jumaat dan bergegas ke hospital bersama keluarga selepas selesai solat Jumaat," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung, nelayan dan mereka yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha mencari adiknya.

Jenazah Muhammad Wafiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bengkal, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor sebaik tiba malam ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, Muhammad Wafiq dan Mohd Naim Adnan, 17 hilang selepas mandi di pantai berkenaan.

Mayat Mohd Naim ditemui pada Selasa lalu.

myMetro 25 Disember 2015



Jenazah Muhammad Wafiq selamat dikebumikan

Batu Pahat: Jenazah remaja yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Kuala Terengganu, Isnin lalu, Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor,17, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bengkal, Sri Gading, jam 3.10 pagi tadi.

Allahyarham dikebumikan selepas disolatkan di Masjid Jamek Kampung Sri Bengkal sebaik sahaja van jenazah dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu tiba pada jam 2.25 pagi tadi.

Kira-kira 200 penduduk kampung, ahli keluarga serta saudara-mara hadir.

Jenazah Muhammad Wafiq disemadikan tidak jauh dari kubur rakannya Muhamad Naim Adnan, 17 yang juga lemas pada kejadian Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, Muhammad Wafiq dan Muhamad Naim lemas ketika bermain air di pantai itu manakala seorang lagi terselamat.

myMetro 26 Disember 2015


Mangsa lemas cemerlang SPM


Batu Pahat: Suasana pilu menyelubungi dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat di sini, hari ini apabila seorang daripada pelajarnya yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 adalah mangsa lemas di Pantai Rhu 10, Setiu, Kuala Terengganu, Disember lalu.

Keputusan Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, itu diumumkan oleh Pengetuanya, Mohd Alim Konting dan sijil keputusan diserahkan kepada ibu dan bapanya Zabedah Kamdan, 56, dan Mohd Noor Ismail, 59.

Mohd Alim berkata, keputusan cemerlang itu seperti dalam jangkaan mereka berikutan prestasi Allahyarham yang amat baik sepanjang sesi pembelajarannya di sini.

"Arwah mendapat 7A dalam kertas percubaan lalu, namun usaha gigih dipamerkan pelajar itu menjadikan saya dan guru yang lain percaya dia akan mendapat keputusan cemerlang untuk SPM ini.

"Namun ketika penyampaian slip keputusan SPM di dewan sekolah tadi, arwah diwakili oleh ibu bapanya. Suasana gembira bertukar sebak apabila saya mengumumkan arwah turut tersenarai dalam 28 calon 9A dalam SPM 2015," katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi 21 Disember lalu, dua remaja dari Johor, Muhamad Naim Adnan, 17, dan Muhamad Wafiq yang mengikuti program keagamaan berbentuk kem ibadah lemas ketika mandi di Pantai Rhu 10, Setiu.

Mayat Muhamad Naim ditemui 11.45 pagi keesokan harinya manakala mayat Muhamad Wafiq ditemui selepas lima hari operasi mencari dan penyelamat dijalankan.

myMetro 3 Mac 2016







0 comments:

Post a Comment