December 28, 2015

Mayat guru terjatuh dari bot ditemui

Jenazah Zainal dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dikebumikan. FOTO Mohd Nazrulaswad

Teluk Intan: Mayat guru yang terjatuh dari bot di Sungai Bidor, Batu 6, Teluk Intan, petang semalam, ditemui pada 4.10 petang tadi,

Mayat Zainal Abu Yamin,51, ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia terjatuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di permukaan sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Menurutnya, bomba dengan bantuan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mula melakukan pencarian sejak malam semalam.

"Mangsa seorang guru di sebuah sekolah menengah di sini pergi memancing bersama rakannya, seorang anggota polis sebelum dilaporkan lemas selepas rakannya yang menaiki bot lain menyedari bot mangsa tidak kelihatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat," katanya yang ditemui di pusat operasi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, Zainal dalam perjalanan pulang ke Jeti Dataran Sungai Udang di sini, selepas memancing bersama rakannya yang menaiki bot berasingan.

Bagaimanapun, Zainal terjatuh dari bot dan tenggelam.

Sementara itu, anak kedua Zainal, Muhammad Hafzhan,20, berkata, bapanya mula menunjukkan perubahan pada hari kejadian dengan berdiam diri.

Katanya, ayahnya memang seorang pendiam namun pada hari kejadian ayahnya langsung tidak menjawab pertanyaan daripada ibunya dan berdiam diri sebelum keluar untuk memancing.

"Ayah sentiasa ambil berat terhadap ketiga-tiga anaknya dan kenangan terakhir saya dengannya beberapa hari sebelum itu apabila ayah meminta saya memanaskan lauk untuknya sebelum kami makan bersama," katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Jenazah Zainal dibawa ke Kampung Chenderong Balai, di sini, sebelum dikebumikan selepas Maghrib.

myMetro 25 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment