December 23, 2015

Mayat anggota polis ditemui

Mayat Shamsul dibawa dengan kenderaan polis ke hospital untuk dibedah siasat. FOTO Hatim Ab Manan

Alor Gajah: Mayat anggota polis yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama birasnya disedut kipas turbin kilang janakuasa di Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam, ditemui di dalam saluran air kilang berkenaan 2.13 petang tadi.

Mayat Lans Koperal Shamsul Surip, 33, ditemui oleh pasukan skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka selepas operasi mencari dan menyelamat disambung pada 8 pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Baharum Muhamad Hasim berkata, mayat mangsa dijumpai tersangkut pada jaring saluran air berkenaan di zon ketiga misi pencarian.

"Mayat dipercayai disedut arus kipas turbin dan dibawa melalui saluran air ke tangki tempat mayat dijumpai.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dibedah siasat," katanya.

myMetro 22 Disember 2015


Polis hilang bot disedut turbin kilang

Alor Gajah: Anggota polis dipercayai lemas manakala birasnya terselamat selepas bot yang dinaiki mereka disedut kipas turbin kilang janakuasa di Pantai Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu mangsa, Mohd Samsul Sharip, 33, dipercayai hilang selepas bot dinaiki terputus dua.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat negeri Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.18 malam, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Jalan Kubu dan BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian bersama 25 anggota termasuk lima pegawai.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan pergi menjala ikan bersama adik ipar isterinya, Mohamad Amin Osman, 26, sebelum bot dinaiki mereka dipercayai disedut kipas turbin kilang janakuasa, menyebabkan bot terbabit pecah dan mangsa hilang dibawa arus namun birasnya berjaya menyelamatkan diri.

"Kini usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankanmanakala birasnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan," katanya.

Sehingga 5.30 pagi tadi, mangsa yang hilang belum belum ditemui.

myMetro 22 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment