December 17, 2015

Maut rempuh lori bawa kertas terpakai

Motosikal mangsa remuk teruk selepas merempuh sebuah lori di Lebuhraya Plus berhampiran Tol Jelapang, semalam.

IPOH - Seorang penunggang maut apabila motosikalnya merempuh belakang lori membawa muatan kertas terpakai di Kilometer 266.6 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), kira-kira satu kilometer dari Tol Jelapang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiqi Saaludin, 26, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bucu kanan belakang lori terbabit.

“Lori dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dalam tugasan untuk menghantar barangan kertas terpakai terbabit dari Kuantan, Pahang ke Butterworth, Pulau Pinang.

“Semasa kejadian, lori berada di lorong kiri dan bergerak dalam keadaan menaiki bukit sebelum dilanggar motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Chang Keong berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Namun, tiada penahanan dibuat setakat ini. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris mangsa hari ini (semalam),” katanya.

Sinar Harian 7 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment