December 23, 2015

Maut ketika bantu rakan kemalangan

Mayat mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

KUALA LUMPUR – Dua tukang sapu warga India maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.15 pagi menyebabkan mangsa dikenali Chinnaiyai Ravichandran, 45 dan rakannya, Veeraiyan Ramanujan, 45, maut di lokasi kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, sebelum itu, mangsa (Chinnaiyai) bersama empat lagi rakannya cuba membantu rakannya iaitu Veeraiyan yang terlibat dalam kemalangan di situ selepas dirempuh sebuah kereta.

Menurutnya, kereta yang datang dari arah pusat bandar menuju ke Tol Sungai Besi telah melanggar Veeraiyan yang sedang berjalan kaki.

“Pemandu berusia 35 tahun itu kemudian memberhentikan keretanya dan turun untuk melihat keadaan mangsa.

“Pada masa sama, seorang lagi mangsa (Chinnaiyai) bersama empat rakan yang lain terus ke lokasi kejadian untuk mengangkat mangsa. Namun, tanpa diduga sebuah bas datang lalu merempuh mereka,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan dua mangsa maut, manakala empat lagi cedera parah.

Katanya lagi, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan.

Tambahnya, bas tersebut bagaimanapun tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah Plaza Tol Sungai Besi.

Saksi kejadian diminta untuk tampil atau menghubungi mana-mana balai berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Zaki di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 23 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment