December 29, 2015

Maut kereta dirempuh masuk parit

MANGSA dibawa keluar oleh orang ramai.

Lipis: Seorang anggota tentera terbunuh selepas Proton Wira dipandunya terbabas ke dalam parit akibat dirempuh dari arah belakang oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 12, Jalan Lipis-Benta, dekat Penjom, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Faizal Bohari, 34, yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Markas Tentera Darat Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur meninggal dunia selepas lima jam dirawat di Hospital Kuala Lipis (HKL).

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, Mohamad Faizal dalam perjalanan ke Benta dari Kuala Lipis.

Katanya, kenderaan dinaiki isterinya, Zunira Mohamad, 29, berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dirempuh motosikal berkuasa tinggi ditunggang Mohammad Faiz Mat Jusoh, 24.

“Ia menyebabkannya terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit. Orang ramai yang menyaksikan kejadian menghulurkan pertolongan dan mangsa dihantar ke HKL untuk rawatan.

“Bagaimanapun, Mohamad Faizal disahkan meninggal dunia selepas lima jam dirawat,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa dibenarkan pulang kerana tidak cedera.

“Jenazah mangsa dituntut isterinya dan dikebumikan di Kampung Berembang, Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang dipercayai menunggang dalam keadaan laju.

myMetro 29 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment