December 28, 2015

Lupa kerjaya jaga ibu sakit

Zurina menjaga ibunya yang menghidap kanser.

Alor Setar: Demi menjaga ibunya yang kini lumpuh apabila menghidap barah payudara tahap empat, seorang graduan melupakan seketika hasratnya mencari pekerjaan yang mampu menjamin masa depan.

Zurina Ali, 24, lulusan kaunseling dari Universiti Utara Malaysia (UUM) baru saja memperoleh ijazah pada majlis konvokesyen UUM ke-28 pada Oktober lalu dan pernah menerima anugerah dekan beberapa kali, namun terpaksa melupakan hasrat mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan kerana menjaga ibunya, Norasmah Harun, 52.

Zurina berkata, ibunya menderita penyakit itu sejak 2004 dan semakin teruk pada tahun ini apabila kansernya merebak ke tulang dan paru-paru sehingga menyebabkan dia lumpuh pada Jun lalu.

Menurutnya, walaupun dalam keadaan menderita, dia tidak pernah menjadikan alasan itu untuk mengabaikan pelajaran dan lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.63.

“Saya membahagikan masa antara pelajaran dan ibu, selain sentiasa berulang alik ke rumah setiap kali cuti dan hujung minggu.

“Malah, sepanjang belajar di UUM tiada seorang yang mengetahui masalah menimpa ibu kerana saya tidak mahu meraih simpati dan Alhamdulillah, saya berjaya mengharunginya walaupun kadangkala dilabel anti sosial kerana jarang menyertai aktiviti diadakan pihak kolej,” katanya di kediaman keluarganya di Kampung Masjid Mukim Kubang Rotan, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum ini, dia bekerja sementara di syarikat swasta Mergong, di sini, sebagai kerani, namun terpaksa berhenti kerana ingin memberi tumpuan menjaga ibunya yang terlantar sakit.

“Ayah, Ali Lazim, 54, hanya bekerja sebagai pesawah, selain perlu menjaga nenek yang uzur menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga emak.

“Bukan tidak teringin hendak bekerja sesuai dengan kelayakan, namun buat masa ini keutamaan adalah untuk menjaga emak kerana saya perlu memasak, memandikannya dan menjaga 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Norasmah berkata, penyakit itu pernah dialami arwah ibunya yang meninggal dunia akibat penyakit sama.

“Akibat pernah melihat dengan mata sendiri penderitaan emak menyebabkan saya takut menjalani pembedahan dan menolaknya ketika pertama kali disahkan menghidap penyakit itu.

“Sebaliknya saya mencuba kaedah lain dengan membuat rawatan secara tradisional, namun tidak berhasil sebelum pada 2012 ia bertambah teruk apabila payudara sebelah kiri pecah menyebabkan saya terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Menurutnya, payudaranya dibuang pada Mac tahun ini, namun sudah terlambat kerana ia merebak ke tulang dan paru-paru menyebabkan dia lumpuh Jun lalu.

“Lebih menyedihkan doktor memberitahu sudah tiada rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini dan saya perlu bergantung kepada ubat tahan sakit setiap enam jam sekali bagi mengurangkan kesakitan.

“Saya reda dengan nasib menimpa diri kerana mengakui disebabkan terlambat menjalani pembedahan menyebabkan ia semakin teruk,” katanya.

Norasmah berkata, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang dan buat masa ini, belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

“Mujur anak sulung lelaki Badrul Hisham Ali, 29, yang bekerja kerajaan di Pejabat Tanah dan Daerah Alor Setar membantu dari segi ubat-ubatan yang diberi percuma pihak hospital kerana statusnya sebagai pekerja kerajaan.

“Saya kini tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya bergantung kepada anak untuk membantu menguruskan diri,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu mereka, boleh menghubungi Zurina di talian 013-5367626.

myMetro 28 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment