December 17, 2015

Luhur hati anak dara sunti

ROSMAH bersama anak sulung, Nur Liyana (kanan) dan Nur Syakirah ketika ditemui di rumah mereka di Perumahan Keda.

Alor Setar: Seorang remaja perempuan melakukan pengorbanan besar apabila berhenti sekolah semata-mata bagi menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Nur Liyana Lazim, 13, mengambil keputusan itu untuk tidak membebankan keluarganya yang dihimpit kemiskinan dan di samping itu, membolehkan adiknya, Nur Syakirah Lazim, 8, meneruskan persekolahan.

Lebih malang ibunya Rosmah Ismail, 45, yang juga orang kurang upaya (OKU) menderita perut membengkak sejak sebulan lalu selain menghidap asma, kencing manis dan darah tinggi.

Nur Liyana berkata, dia hanya bersekolah sehingga darjah enam sebelum berhenti sekolah apabila memikirkan nasib ibunya yang tidak boleh berjalan akibat kaki kiri mengecil sejak lahir selain terlantar sakit.

“Demi menjaga emak yang tidak boleh menguruskan dirinya dan keluarga, tambahan pula bapa tiri, Rozali Osman, 70, perlu keluar bekerja, saya nekad berhenti sekolah.

“Bukan saya tidak mahu ke sekolah tetapi apabila memikirkan keluarga yang dihimpit kesusahan, saya berkorban. Biarlah adik saja yang bersekolah saya menjaga emak,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya Fatimah Ismail, 64, di perumahan Lembaga Kemajuan Wilayah Keda (KEDA) Batu 13, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena, di sini, semalam.

Sementara itu, Rosmah berkata, dia sekeluarga menumpang di rumah ibunya selepas mereka tidak mampu membayar sewa rumah menyebabkan pemiliknya menghalau mereka.

“Keadaan saya berpenyakit dan perlu sentiasa ke hospital menerima rawatan tambahan perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak menyukarkan kehidupan kami sekeluarga.

“Lebih teruk, sejak sebulan lalu perut saya membengkak dan keras selain kaki membengkak menyebabkan saya menangis menahan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, suaminya pula bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Sedih apabila memikirkan anak sanggup berhenti sekolah kerana ingin menjaga saya walaupun keberatan, namun kesempitan hidup menyebabkan kami tiada pilihan lain.

“Mujur kini kami menumpang di rumah emak selain menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu mereka boleh menghubungi ahli keluarga Mat Isa Mat di talian 014-2442197.

myMetro 14 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment