December 31, 2015

Lima cedera bangunan dalam pembinaan runtuh

KUALA LUMPUR - Seramai lima pekerja binaan dipercayai warga asing cedera termasuk seorang parah selepas sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan runtuh di Lorong Sarawak, Taman Melawati, Hulu Kelang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, pihak bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri ada terperangkap di dalam runtuhan tersebut.

Runtuhan dipercayai berlaku di tingkat dua bangunan empat tingkat itu namun punca runtuhan masih belum diketahui.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, kesemua mangsa yang cedera dan parah dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

"Pihak kami percaya ada seorang mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan tersebut dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya ketika dihubungi tadi. - K! ONLINE

Kosmo 31 Dis 2015


Struktur bangunan 4 tingkat runtuh, seorang terperangkap


KEADAAN struktur bangunan 4 tingkat runtuh di Taman Malawati. 

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dikhuatiri terperangkap apabila struktur bangunan empat tingkat yang dalam pembinaan runtuh di Lorong Sarawak, Taman Melawati di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10 malam tadi sebelum 23 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Difahamkan terdapat 12 mangsa terbabit dalam kejadian ini. Ketika bomba tiba, seorang mangsa berjaya dikeluarkan daripada timbunan runtuhan dan dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam.

"Dikhuatiri masih terdapat seorang mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan usaha mengesannya sedang dijalankan dengan bantuan anjing pengesan, " katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Berita Harian 30 Dis 2015


25 buruh binaan nyaris maut

KUALA LUMPUR – Seramai 25 buruh binaan warga asing berdepan detik cemas selepas struktur bangunan Melawati Mall yang masih dalam pembinaan runtuh di Lorong Sarawak, Taman Melawati di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, seorang dilaporkan parah manakala lima lagi cedera.

Salah seorang mangsa, Mohamad Jubaidi, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa rakannya sedang meratakan simen di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Nasib baik bangunan ini tidak runtuh sepenuhnya, kalau tidak tak tahulah nasib kami.

“Kami bekerja seperti biasa pada malam itu dan memang tidak mendengar apa-apa bunyi pelik. Apa yang saya ingat, secara tiba-tiba kami semua jatuh ke bawah dan saya ingat bangunan ini telah runtuh,” katanya selepas insiden malam tadi.

Kompleks beli-belah lapan tingkat itu dengan keluasan 188,976 meter persegi dijangka siap penghujung tahun hadapan.

Tambah Mohamad yang berasal dari Surabaya, Indonesia, dia dan beberapa rakannya bagaimanapun berjaya keluar dari lokasi kejadian sebelum bantuan pasukan penyelamat tiba.

“Saya tidak terperangkap dan berjaya keluar dari runtuhan. Saya hanya mengalami kecederaan ringan di badan. Kami semua bernasib baik tidak mengalami kecederaan parah dan saya lihat hanya perancah besi sahaja yang runtuh dan bukannya bangunan,” ujarnya.

Kosmo 1 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment