December 21, 2015

Lima beranak lemas



Pasukan keselamatan mengusung jenazah salah seorang mangsa yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, semalam. mingguan/Shaifudin Mohd Nor

Ustaz, 4 sekeluarga lemas di air terjun

HULU TERENGGANU 19 Dis. - Lima sekeluarga lemas manakala seorang lagi terselamat ketika mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit dekat sini hari ini.

Mangsa yang lemas ialah Abdul Halim Samian, 44, isterinya, Nurul 'Adilah@Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka iaitu Nurul 'Arifah, 16, Nurul Hidayah Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Bagaimanapun, anak bongsu pasangan terbabit iaitu Mohd. Hasif, 9, terselamat kerana berada di daratan ketika kejadian.

Difahamkan, Abdul Halim ber­asal dari Johor manakala Nurul 'Adilah pula dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu dan mereka sekeluarga menetap di Puncak Alam, Selangor.

Abdul Halim juga bertugas sebagai naib kadi dan imam di Surau Al-Furqan, Puncak Alam.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusof, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan seramai 11 anggota beserta sebuah jentera.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila salah seorang mangsa dibawa arus ketika sedang mandi sebelum mangsa yang lain cuba menyelamatkannya.

Beliau berkata, ketika kejadian, hanya keluarga tersebut berada di situ dan kesemua mangsa ditemukan dalam lingkungan 50 meter di kawasan yang dipercayai berlaku akibat pusaran air itu.

“Mangsa pertama iaitu Abdul Halim ditemukan kira-kira 12.17 tengah hari diikuti oleh Nurul Izah dan Nurul Hidayah Aina beberapa minit kemudian manakala dua lagi mangsa iaitu Nurul 'Adilah dan Nurul 'Arifah masing-masing ditemukan pada pukul 12.33 dan 12.37 tengah hari.

“Empat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung manakala mangsa terakhir iaitu Nurul 'Arifah oleh anggota bomba.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa ini kali pertama keluarga tersebut berkunjung ke sini dan tidak tahu tentang keadaan air pusar,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Hulu Terengganu di sini.

Dalam pada itu, usaha Mingguan Malaysia untuk menemu bual ahli keluarga mangsa gagal kerana mereka dikatakan masih bersedih atas kejadian tersebut.

Pada masa yang sama, Mohd. Hasif pula masih berada dalam keadaan trauma.

Difahamkan, kesemua jena­zah akan dikebumikan esok pagi bagaimanapun lokasi pengebumian belum ditentukan setakat ini.

Utusan 20 Dis 2015


Bongsu yatim piatu 

Hulu Terengganu: Hanya anak bongsu lima sekeluarga yang ditemui lemas di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, selamat dalam kejadian kira-kira 10 pagi, hari ini.

Mohd Hasif, 9, selamat kerana sedang bermain pasir di tepi air terjun itu ketika kejadian.

Dalam kejadian itu, suami isteri dan tiga anak perempuan mereka ditemui lemas.

Kesemua mayat ditemui antara 12.17 hingga 12.37 tengah hari oleh orang awam dan Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Halim Samian, 44; Nurul 'Adila @ Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Keluara berkenaan dipercayai menetap di Puncak Alam, Selangor.

Mereka pulang bercuti di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu sebelum pergi ke kawasan air terjun itu.

Pegawai Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Abdullah Zawawi Mohamed, berkata pihaknya terima panggilan kecemasan pada 11.35 pagi.

Katanya, anggota Balai Bomba Kuala Berang dan Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.

myMetro 19 Disember 2015


Lima beranak satu liang 

Kuala Terengganu: Jenazah lima beranak yang lemas di kawasan air terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang, Pekan Batu Enam, di sini, kira-kira 1 pagi Ahad.

Pengkebumian dilakukan selepas selesai solat jenazah di masjid kampung itu sejurus ketibaan keluarga arwah Abdul Halim Samian dari Johor.

Samian Somo, 84, iaitu ayah arwah Abdul Halim dan ibunya, Siti Edah Ali, 75, serta adik-beradiknya kemudian mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Teh Jarah, 72, iaitu ibu kepada arwah Nurul 'Adilah Awang, bersama anak bongsu mangsa, Mohd Hasif, 9, juga mengiringi jenazah.

Selain, Abdul Halim, 44, dan Nurul 'Adilah, 39, turut lemas dalam tragedi itu adalah tiga anak perempuan mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Sebelum itu, kira-kira 200 penduduk kampung dan sanak saudara menyambut ketibaan lima van jenazah yang tiba di perkarangan masjid di Kampung Pengkalan Arang, 9.30 malam tadi, dari Hospital Hulu Terengganu.

Pengkebumian lima beranak itu selesai, pada 1.30 pagi.

myMetro 20 Disember 2015


Anak mangsa lemas tukar sekolah

Shah Alam: Mohd Hasif Abdul Halim, 9, yang kehilangan keluarganya dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, Terengganu, 19 Disember lalu, memulakan sesi persekolahannya di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Jalan Kebun,di sini, pagi tadi.

Kanak-kanak yang memasuki darjah tiga itu dihantar ibu saudaranya, Dr Siti Sabariah Damian, 38, pada 7.30 pagi tadi sebelum kanak-kanak berkenaan menyertai perhimpunan sekolah berkenaan.

Beliau yang ditemani Siti Sabariah bagaimanapun lebih banyak mendiamkan diri kerana baru ditukarkan ke sekolah berkenaan di mana sebelum ini beliau bersekolah di Sekolah Agama Hira', Klang

Dr Siti Sabariah berkata, Mohd Hasif sebelum ini bersekolah di Sekolah Agama Hira', Klang, tetapi dipindahkan ke sekolah berkenaan bagi membolehkan dia bersekolah bersama dua sepupunya.

"Saya memilih untuk menghantarnya ke sekolah ini bagi memudahkan keadaan Mohd Hasif dipantau kerana beliau masih dalam proses untuk melupakan tragedi berkenaan," katanya ketika ditemui.

Tragedi menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 10 pagi itu mengorbankan, bapa dan ibu Mohd Hasif, Abdul Halim, 44, dan Nurul 'Adilah @ Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Bagaimanapun, Mohd Hasif terselamat kerana ketika kejadian kanak-kanak itu hanya bermain di tepi air terjun.

myMetro 4 January 2016





0 comments:

Post a Comment